SEORANG warga emas yang menderita penyakit gastrik diangkut menggunakan jengkaut untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan.
Kejadian itu berlaku di Kampung Cibangkonol, Bandung Barat, Jawa Barat di Indonesia apabila mangsa, Anung Asmarawijaya, 80, terpaksa dibawa menggunakan jentera berat berikutan akses jalan ke kampung berkenaan sedang dalam proses pembinaan.
Kisahnya itu tular selepas video dia diangkut menggunakan jengkaut dimuat naik ke media sosial.
Menerusi rakaman video yang dikongsikan, Anung dilihat dipeluk oleh anak perempuannya di dalam bucket jengkaut sambil menahan kesakitan ketika melalui laluan berbatu menuju ke klinik.
Ketua Bahagian Kerajaan Desa Jati, Iyep Saripudin berkata, keadaan jalan yang masih belum siap menyebabkan kenderaan biasa mahupun pacuan empat roda tidak dapat digunakan.
"Laluan itu bukan jalan rosak, sebaliknya jalan baharu yang sedang dibuka serta pembinaan jambatan penghubung antara Desa Jati dan Desa Girimukti," katanya.
Tambah beliau, tindakan pantas penduduk kampung menggunakan jengkaut membantu menyelamatkan nyawa warga emas itu yang mengalami sakit gastrik.
Sementara itu, Ketua Persatuan Kejiranan (RW) 04, Kampung Cibangkonol, Bubun menjelaskan rumah mangsa terletak di hujung kampung dan hanya boleh diakses melalui jalan yang terputus sehingga ke kawasan perairan takungan Saguling.
"Ketika kejadian, jengkaut berada di lokasi projek dan menjadi satu-satunya cara untuk membawa mangsa sejauh kira-kira 350 meter ke klinik," katanya.
Selepas menerima rawatan daripada petugas kesihatan, keadaan Anung dilaporkan semakin beransur pulih. -Agensi


