suria

Lelaki ‘provider’ nekad cerai isteri hidap kanser, tertekan rumah tangga tanpa hubungan intim

Lelaki ini dikecam lepas pengakuannya di sebuah rancangan televisyen.

PENGAKUAN seorang suami yang mahu menceraikan isteri yang menghidap kanser mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan penonton.

Perkara itu didedahkan menerusi rancangan realiti Korea Selatan, Divorce Re-Boot Camp pada Khamis lalu, apabila lelaki yang bekerja sebagai penghantar barangan itu mengakui perkahwinannya berdepan masalah kerana ketiadaan hubungan intim.

Walaupun digambarkan sebagai seorang suami bertanggungjawab yang bekerja lebih 10 jam sehari tanpa cuti serta menguruskan anak-anak dan rumah tangga, lelaki itu berkata masalah sebenar adalah hubungan intim yang dianggap tidak memuaskan.

Dia turut mengakui telah memfailkan perceraian sebelum isterinya disahkan menghidap kanser, namun tetap berusaha menyokong wanita itu menjalani rawatan sebagai tanggungjawab kemanusiaan.

"Perceraian dan penyakit adalah dua perkara berbeza. Saya perlukan hubungan intim sekurang-kurangnya sekali seminggu," katanya dalam program tersebut.

Tambah lelaki ini, sekiranya kehendaknya itu tidak dipenuhi selepas isterinya pulih, dia tetap akan meneruskan perceraian.

Kenyataan berani itu mengundang reaksi hos rancangan, Seo Jang-hoon, yang meluahkan rasa sedih semasa mendengar tuntutan lelaki tersebut.

Ia sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang rata-rata mengecam sikap suami berkenaan dan mempersoalkan keutamaan serta empatinya terhadap isteri yang sedang sakit. -Agensi

Artikel Lain