AHMED al Ahmed, lelaki yang bertindak berani mematahkan serangan dilakukan seorang penembak dan merampas senjata api yang digunakan dalam insiden tembakan di Pantai Bondi, Sydney, Australia pada Ahad, berkemungkinan kehilangan sebelah tangannya.
Doktor yang merawat Ahmed berkata, lelaki tersebut berdepan dengan risiko sedemikian akibat kecederaan serius yang dialaminya semasa kejadian.
Menurut peguam migrasi Ahmed, Sam Issa, kesakitan akibat kecederaan itu kini mula memberi kesan besar kepada keadaannya.
Issa berkata Ahmed berada dalam keadaan lemah selepas ditembak beberapa kali.
ARTIKEL BERKAITAN: Nekad terkam penyerang bersenjata... Keberanian penjual buah dipuji PM Australia, pemimpin dunia
"Keadaannya tak baik. Dia dihujani peluru dan kini sedang berjuang untuk pulih. Wira kita sedang bergelut," kata Issa kepada Sydney Morning Herald.
Issa turut memaklumkan bahawa Ahmed mengalami kira-kira lima kesan tembakan di lengan kirinya, termasuk satu yang menembusi bahagian belakang tulang belikat kiri.
Menurutnya, tindakan berani Ahmed didorong oleh rasa terima kasihnya terhadap Australia yang telah memberinya peluang dan kewarganegaraan.
"Dia merasakan tanggungjawab dan penghargaan terhadap negara ini. Inilah caranya dia menyatakan terima kasih kerana diberikan kehidupan dan kewarganegaraan di Australia,"katanya.
Tindakan beraninya turut mendapat pujian Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese.
Ahmed yang merupakan pemilik kedai buah-buahan dan bapa kepada dua anak kini masih dirawat di hospital selepas menjalani pembedahan akibat cedera ditembak.
Dalam kejadian pada Ahad lalu, seramai 15 orang terbunuh akibat terkena tembakan yang dilepaskan dua penembak ketika sambutan Hanukkah sedang berlangsung.
Salah seorang penembak turut terbunuh, menjadikan angka korban bertambah kepada 16 orang. -Agensi


