SEORANG wanita berputih mata selepas menjadi mangsa rompakan bersenjata di kediamannya sendiri.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi Selasa, mangsa dikenali sebagai Rasinah, 56, dikatakan baru selesai mandi sebelum dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki tidak dikenali di dalam bilik tidurnya.
Kejadian dilaporkan berlaku di Purbalingga, Jawa Tengah, Indonesia.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Purbalingga, AKP Siswanto berkata, suspek bertindak agresif dengan mengacukan pisau sejurus melihat mangsa masuk ke dalam bilik tidur.
Dia kemudian bertindak meragut rantai emas seberat 14 gram yang dipakai mangsa.
"Suspek bukan sahaja mengambil rantai emas, malah turut melarikan sebuah beg dari almari bilik tidur mangsa," katanya.
Menurut Siswanto, beg berkenaan mengandungi wang tunai kira-kira Rp30 juta (RM7,342), dua gelang emas seberat 26 gram serta Kad Pengenalan mangsa.
Ujarnya, jumlah keseluruhan barang kemas yang dilarikan menyebabkan mangsa mengalami kerugian dianggarkan sekitar Rp70 juta (RM17,132).
Tambah beliau, hasil siasatan awal mendapati tiada kesan pecah masuk pada pintu atau tingkap rumah, sekali gus menimbulkan syak bahawa suspek sudah berada di dalam rumah lebih awal.
"Pelaku dipercayai melarikan diri melalui tingkap bilik tidur mangsa," jelas Siswanto.
Setakat ini, pihak polis masih giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek serta modus operandi yang digunakan dalam rompakan tersebut. -Agensi


