suria

Warga kota serbu ST Rosyam Mart Jakel Square! Ayam 88 sen jadi rebutan, jualan artis di Celebrity Corner curi tumpuan

Warga kota tidak melepaskan peluang menyerbu cawangan terbaru ST Rosyam Mart di Jakel Square, malam Rabu. -LOW BOON TAT / The Star

MEMBUKA 'tirainya' pada malam Rabu, ST Rosyam Mart di Jakel Square, Kuala Lumpur (KL) menyaksikan ribuan pengunjung menyerbu cawangan terbaharu pasar raya borong halal 24 jam tersebut bagi membeli barangan keperluan dengan harga promosi.

Seawal sebelum pembukaan, pengunjung dilihat sudah bersedia dengan troli dan bakul masing-masing di hadapan pintu masuk, dan mula menyerbu sebaik sahaja upacara perasmian pembukaan disempurnakan.

Apa yang pasti, mereka semestinya tidak mahu melepaskan peluang membeli ayam yang berharga 88 sen seekor, selain pelbagai barangan lain yang bukan sahaja segar malah murah.

Bagi Nur Afzan Mohamad, 45, dari Subang Bestari, Selangor, dia sanggup meluangkan masa hadir pada hari pembukaan bagi menikmati promosi istimewa.

"Dalam banyak cawangan ST Rosyam, inilah yang pertama saya datang pada hari pembukaan sebab teruja. Lokasinya strategik, jadi saya hanya guna pengangkutan awam ke sini. Tujuan utama semestinya nak beli barang dapur pada harga promosi," ujarnya kepada mStar.

Grand opening, supermarket tour, and press conference ST Rosyam Mart in Jakel Square KL—LOW BOON TAT / The Star(Dari kiri) Rosyam, Raymond, Azman dan Datuk Khadijah Ibrahim menunjukkan papan tanda harga promosi ayam yang dijual hanya 88 sen.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Syafika Hassan, 50, berkata, ST Rosyam Mart sememangnya menjadi pilihan utamanya untuk membeli barangan keperluan kerana harganya yang berbaloi.

"Seperti yang ramai maklum, harga barangan di ST Rosyam Mart memang murah, dengan kualiti dan kesegarannya juga bagus. Sekali gus berbelanja di sini memang berbaloi," ujarnya.

Dalam pada itu, Nabilah Ahmad, 30, pula berkata pembukaan cawangan baharu itu memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna, khususnya mereka yang tinggal di sekitar ibu kota.

"Sebelum ini saya sering kunjungi cawangan ST Rosyam Mart di Setiawangsa kerana dekat dengan rumah. Tapi apabila tahu pembukaan cawangan baru ini dari Facebook, saya ajak suami dan nenek datang sekali," katanya. 

Majlis pembukaan ST Rosyam Mart di Jakel Square dan peluncuran inisiatif 'Selamatkan Dompet Warga KL' disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, iaitu Datuk Azman Abidin. 

Grand opening, supermarket tour, and press conference ST Rosyam Mart in Jakel Square KL—LOW BOON TAT / The StarRosyam (kiri) dan Raymond menyampaikan ucapan sempena majlis pembukaan ST Rosyam Mart di Jakel Square.

Terletak di tengah ibu kota dengan berkeluasan melebihi 50,000 kaki persegi, ini merupakan cawangan ST Rosyam Mart yang kesembilan dan kedua di Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Sri Ternak, Datuk Raymond Ho Cheng Hann berkata, pihaknya berdepan cabaran besar apabila memilih untuk membuka cawangan di lokasi strategik, di mana menanggung kos operasi yang tinggi dan dalam masa sama mengekalkan harga jualan borong seperti cawangan lain.

"Kosnya dibandingkan dengan cawangan di luar bandar boleh dikatakan tiga kali ganda. Tapi kita tak tukar harga jualan… sama macam cawangan lain.

"Dalam pada itu, cawangan di sini adalah strategik kerana menjadi tumpuan pelancong, sekali gus menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Kita beroperasi 24 jam, pelancong boleh datang berkunjung pada bila-bila masa dan cawangan ini yang pertama ada Malaysia Selection Corner. Mereka boleh beli barangan tempatan kita untuk dijadikan buah tangan," ujarnya. 

Sementara itu, Pengarah ST Rosyam Mart Sdn Bhd, Datuk Rosyam Nor berkata, pembukaan cawangan baharu ini adalah usaha syarikat untuk membantu 'menyelamatkan dompet' warga kota dan mahu dikenali sebagai pasar raya rakyat Malaysia. 

"Kami sebenarnya berdebar nak masuk tengah-tengah ibu kota tapi kami nak selamatkan dompet warga Kuala Lumpur.

"Kami nak dikenali sebagai pasar raya rakyat Malaysia. Kami perlukan sokongan anda untuk membina bersama supaya ST Rosyam di sini akan kekal buat warga Kuala Lumpur," ujarnya lagi. 

Grand opening, supermarket tour, and press conference ST Rosyam Mart in Jakel Square KL—LOW BOON TAT / The StarPengunjung tidak melepaskan peluang membeli barangan jualan artis di Celebrity Corner.

Apa yang menarik, ST Rosyam Mart cawangan baru ini tampil dengan keunikan tersendiri apabila menyediakan sehingga 20 perkhidmatan asas percuma selama 24 jam, khusus untuk menghargai pengunjungnya.

Antara kemudahan utama ialah servis buggy, servis penghantaran ke kereta pelanggan, servis pemotongan daging percuma, loker penyimpanan barangan percuma, bantuan kecemasan seperti servis jump start bateri kereta, pam angin tayar dan pelbagai lagi.

Selain itu, Celebrity Corner turut diperluaskan dengan penyertaan lebih 30 selebriti yang terdiri daripada artis, atlet dan pempengaruh yang memasarkan produk masing-masing.

Antara artis yang mempamerkan jualan mereka adalah Datuk Khadijah Ibrahim, Yana Samsudin, Serina Redzuawan, Fizo Omar, Khai Bahar, Nubhan, Fouziah Gous, Ako Mustapha dan ramai lagi.

Pelbagai variasi barang jualan yang dipasarkan, antaranya Yana Samsudin dengan produk minuman susu oat, Khai Bahar (snek kentang), Nubhan (pes masakan citarasa Negeri Sembilan), Fouziah Gous (minuman sarang burung), Datuk Khadijah Ibrahim (sos cili pedas) dan macam-macam lagi.

"Kami seru rakyat Malaysia untuk rasai perbezaan di setiap outlet kami. Kita bawakan pengalaman di ST Rosyam Mart berbeza dengan pasar raya lain, iaitu persekitaran lima bintang tapi harga borong," katanya Rosyam lagi.

Artikel Lain