suria

MCMC laksana Peruntukan Deeming mulai Januari 2026... Internet lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga

Peruntukan Deeming dapat memastikan platform memikul tanggungjawab, khususnya dalam melindungi kanak-kanak daripada risiko dalam talian. -Foto Azman Ghani/SMG

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan melaksanakan Peruntukan Deeming di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) bermula 1 Januari 2026, bagi memastikan persekitaran internet lebih selamat khususnya untuk kanak-kanak dan keluarga.

Melalui pelaksanaan ini, penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial berskala besar yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia akan disifatkan berdaftar secara automatik sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)), tanpa perlu melalui proses pendaftaran formal.

Menurut MCMC, langkah berkenaan melibatkan platform utama seperti WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube, tertakluk kepada kriteria yang ditetapkan.

Peruntukan Deeming selari dengan pendekatan antarabangsa dalam mengawal selia platform dalam talian berskala besar. -Foto Raja Faisal Hishan/SMGPeruntukan Deeming selari dengan pendekatan antarabangsa dalam mengawal selia platform dalam talian berskala besar. -Foto Raja Faisal Hishan/SMG

"Pelaksanaan Peruntukan Deeming bertujuan memastikan semua platform berskala besar beroperasi dalam kerangka perundangan dan kawal selia Malaysia secara lebih teratur, konsisten dan berkesan.

“Langkah ini juga diambil bagi menutup jurang pengawalseliaan, terutamanya terhadap penyedia perkhidmatan yang beroperasi dari luar negara, selain mengukuhkan akauntabiliti platform serta pematuhan terhadap undang-undang tempatan,” kata MCMC menerusi kenyataan pada Isnin.

Selain itu, pelaksanaan ini diharap dapat memastikan platform memikul tanggungjawab yang lebih jelas dalam aspek keselamatan pengguna, khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan institusi keluarga daripada risiko dalam talian.

Kesan kepada pengguna

Dari sudut pengguna, MCMC memaklumkan bahawa platform terlibat akan tertakluk kepada obligasi undang-undang Malaysia sama seperti penyedia perkhidmatan lain.

Ini sekali gus akan memperkukuh keselamatan dalam talian melalui tanggungjawab platform yang lebih jelas dan boleh dikuatkuasakan, sekali gus memberi perlindungan yang lebih baik kepada pengguna, terutama kanak-kanak dan keluarga.

TikTok antara platform berskala besar beroperasi dalam kerangka perundangan dan kawal selia Malaysia secara lebih teratur. -Foto Izzrafiq Alias/SMGTikTok antara platform berskala besar beroperasi dalam kerangka perundangan dan kawal selia Malaysia secara lebih teratur. -Foto Izzrafiq Alias/SMG

Dalam masa sama, MCMC menegaskan bahawa pelaksanaan ini tidak menjejaskan operasi sedia ada platform global berkenaan.

“Tiada kewajipan untuk membuka pejabat fizikal di Malaysia, namun penyedia perkhidmatan asing perlu melantik wakil tempatan bagi tujuan pematuhan.

"Penyedia perkhidmatan yang telah berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C) pula akan kekal berdaftar sehingga tempoh pendaftaran sedia ada tamat," katanya.

MCMC turut memaklumkan bahawa pelaksanaan Peruntukan Deeming ini adalah selari dengan pendekatan antarabangsa dalam mengawal selia platform dalam talian berskala besar, khususnya bagi memastikan tahap akauntabiliti yang lebih tinggi serta keselamatan pengguna secara menyeluruh.

Artikel Lain