suria

Tonjol kekayaan dalam sektor pertanian… MAHA 2026 bakal meterai MoU, MoA bernilai RM8 bilion

Datuk Seri Mohamad Sabu (depan, tengah) merasmikan Majlis Pra Pelancaran MAHA 2026 di Maeps Serdang.

MENYASARKAN pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Persefahaman (MoA) berjumlah RM8 bilion, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2026 tampil dengan visi membangunkan ekosistem agromakanan yang berdaya tahan.

Sejajar tema 'Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan', pameran pertanian terbesar yang bakal berlangsung pada 28 Ogos hingga 6 September 2026 ini turut menyasarkan kehadiran 4 juta pengunjung dan lebih 2,000 pempamer dengan nilai jualan sebanyak RM58 juta.

Selain itu, program ini menjangkakan penglibatan 800,000 belia dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, MAHA 2026 akan menekankan nilai-nilai Malaysia MADANI dengan mengiktiraf komitmen, ketabahan dan usaha gigih para petani, nelayan serta penternak.

"Pada masa sama, aspek penjanaan kekayaan melalui sektor pertanian perlu terus ditonjolkan.

"Pelbagai bentuk aktiviti inovatif dan interaktif dirangka bagi menarik minat pengunjung, sekali gus mewujudkan ‘wow factor’ yang lebih segar dan berimpak tinggi," ujarnya.

Golongan belia digalakkan menyertai MAHA 2026.

Golongan belia digalakkan menyertai MAHA 2026.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pra Pelancaran MAHA 2026 di Maeps Serdang, Selangor, 3 Disember lalu.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato' Sri Arthur Joseph Kurup dan Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak.

Menurut Mohamad, antara pengisian utama pada edisi kali ini termasuklah Pavilion Negeri, pameran teknologi pertanian tempatan dan antarabangsa, persembahan laser dan air serta agro safari.

Selain itu turut diketengahkan adalah pameran bunga, pameran agrotek, fiesta makanan, pertandingan agro, sukan rakyat, rewang warisan, Rhythm of the Farmers (ROTF), sesi santai kopi, agropreneur muda, kiddies wonderland dan taman burung.

"Keseluruhan pengalaman ini akan memberi pengetahuan dan pendedahan baharu kepada para pengunjung.

“Ia juga dapat menyemarakkan minat serta membina kesedaran masyarakat, khususnya golongan muda, untuk menceburi bidang pertanian,” jelasnya.

Mohamad melakukan flag-off kereta Road to MAHA 2026.

Mohamad melakukan flag-off kereta Road to MAHA 2026.

Tambah beliau, MAHA 2026 membuka ruang untuk memperkenalkan teknologi pertanian terkini, produk serta perkhidmatan agromakanan kepada pasaran yang lebih luas.

Ia seterusnya menjadi platform unggul untuk mengembangkan perniagaan dalam sektor pertanian dan agroindustri.

Malah kata Mohamad, usahawan dan pelabur juga berpeluang meneroka dagangan, pelaburan, kolaborasi mahupun perkongsian teknologi.

Pada masa sama, pasaran import dan eksport dapat dibangunkan di samping pelancaran produk dan perkhidmatan inovatif yang turut membantu pertumbuhan kerjaya mahupun keusahawanan dalam sektor agro.

Baginya, peserta dapat mengukuhkan perniagaan serta jaringan pelanggan sedia ada di samping membina hubungan antarabangsa yang strategik kerana menjadi individu terawal mengetahui trend pasaran terkini yang meningkatkan daya saing dalam industri agro.

Artikel Berikut

Artikel Lain