suria

Nenek maut, moyang parah diserang pemuda OKU 21 tahun

Suasana kecoh di lokasi kes seorang lelaki mengamuk di Baling, Kedah. -Gambar media sosial

SEORANG wanita berusia 65 tahun maut manakala ibunya yang berusia 80 tahun cedera selepas diserang lelaki yang mengamuk di Kampung Baru Bakai, Malau dekat Baling, Kedah pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Brandon Richard Joe berkata, pihaknya menerima maklumat awam berhubung kejadian itu kira-kira pukul 7 malam.

Menurutnya, suspek merupakan seorang lelaki berusia 21 tahun yang mempunyai ketidakupayaan intelektual dan dibawa ke Balai Polis Malau oleh orang awam sebelum ditahan pada pukul 7.50 malam bagi membantu siasatan.

“Suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan mengaku menikam nenek serta moyangnya di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera menerima rawatan di Hospital Kulim.

Tambahnya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Baling pada Rabu bagi permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel Lain