suria

Nama Dr Zaliha, Mohd Na'im ‘hilang’ daripada senarai Kabinet baharu Anwar

Mohd Na'im, Dr Zaliha gugur daripada Kabinet Malaysia.

PELANTIKAN baharu dan perubahan portfolio yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan dua menteri dan timbalan menteri digugurkan daripada Kabinet Malaysia.

Mereka ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (Wilayah Persekutuan) dan Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar (Hal Ehwal Agama).

Menerusi pengumuman pada petang Selasa, portfolio Dr Zaliha digantikan Hannah Yeoh yang sebelum ini memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan.

Manakala Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan dinaikkan menjadi menteri penuh menggantikan Mohd Na'im.

Selain itu, turut digugurkan ialah Timbalan Menteri Perpaduan, K Saraswathy yang kedudukannya diganti oleh R Yuneswaran.

Perubahan yang berlaku itu sekali gus turut menepis desas-desus yang mengaitkan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin tersenarai dalam barisan Kabinet Madani.

Ia berikutan namanya sebelum ini dikaitkan dengan lantikan baharu selepas berita mengenai perubahan portfolio kerajaan tular di media sosial.

Malah terdapat gambar tular beliau menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri baru-baru ini.

Untuk rekod, Khairy juga pernah memegang portfolio sebagai Menteri Belia dan Sukan dari tahun 2013 hingga 2018.

Beliau juga menjawat jawatan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mac 2020 - Ogos 2021) dan Menteri Kesihatan bermula 30 Ogos 2021 hingga November 2022.

Artikel Lain