suria

Dah tak lama... Vape diharamkan sepenuhnya 2026

Menghisap vape membahayakan kesihatan. -Gambar hiasan

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan larangan penuh penggunaan rokok elektronik atau vape di seluruh negara selewat-lewatnya pada 2026.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keputusan untuk mengharamkan vape bukan lagi persoalan sama ada ia akan dilaksanakan atau tidak, sebaliknya hanya menunggu masa yang sesuai.

“Ini bukan soal sama ada kita mahu haramkan vape atau tidak, tetapi bila. 

"Keputusan secara prinsip sudah dipersetujui di peringkat Kabinet untuk bergerak ke arah larangan,” katanya pada Selasa.

Menurutnya, KKM menyasarkan pelaksanaan larangan itu sekitar pertengahan 2026 atau selewat-lewatnya hujung tahun berkenaan.

Jelasnya ia tertakluk kepada penyempurnaan proses perundangan dan kawal selia yang diperlukan.

“Kami melihat awal 2026 sebagai tempoh untuk membawa semula perkara ini ke Kabinet. Itulah jangka masa yang sedang diusahakan,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan cecair vape dicampur bahan terlarang dan sintetik, yang dikaitkan dengan kes psikosis akibat dadah serta masalah kesihatan mental serius.

“Saya dimaklumkan tentang pesakit yang mengalami psikosis akibat penggunaan bahan seperti kanabis sintetik dan dadah lain yang diambil melalui vape,” katanya.

Menurutnya, kes-kes tersebut kini dipantau oleh pasukan petugas khas di bawah kepimpinan kesihatan awam KKM dengan kerjasama pakar perubatan.

Dr Dzulkefly menegaskan, faktor gaya hidup termasuk penyalahgunaan bahan terlarang antara penyumbang utama kepada masalah kesihatan mental, sekali gus mengukuhkan keperluan tindakan dasar yang tegas.

Artikel Lain