suria

Kumpulan Media Star menang besar, mStar raih kemenangan 2 tahun berturut-turut Anugerah Media CIDB

mStar menerima anugerah bagi kategori Laporan Khas Berita yang disampaikan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

PORTAL hiburan dan gaya hidup paling viral, mStar mengulangi kejayaan pada malam Anugerah Media Pembinaan (AMP) Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), apabila sekali lagi dipilih sebagai pemenang tempat kedua menerusi laporan khas bersiri sepanjang Ogos 2025.

Majlis yang berlangsung di M Resort & Hotel, Kuala Lumpur pada Rabu, menyaksikan gandingan wartawan Wais Qorni Azizan dan Muhammad Mustakim Ramli membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, trofi dan sijil penyertaan.

Anugerah disampaikan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, diiringi timbalannya Datuk Ahmad Maslan.

Portal ini merangkul kemenangan bagi kategori Anugerah Media Cetak & Portal Berita (Laporan Khas Berita) sekali gus menjadi kejayaan dua tahun berturut-turut selepas meraih pencapaian sama pada 2024.

Ceria… (dari kiri) Pengarang Berita, Izra Rahman, Mustakim Ramli, Niezam Abdullah, Wais Qorni dan Timbalan Pengarang Berita, Arifuddin Ishak bergambar kenangan meraikan kejayaan menerima anugerah.

Kemenangan kali ini adalah hasil laporan eksklusif mStar mengenai isu penggunaan semula sisa binaan yang dianggap sampah dan tidak bernilai, mendedahkan teknologi serta inovasi pusat pemprosesan Agregat Konkrit Guna Semula (RCA) pertama.

Berdasarkan laporan, RCA yang merupakan inisiatif YTL Cement-CREAM membantu mempercepatkan transformasi industri pembinaan ke arah ekonomi kitaran seiring prinsip ESG (Environmental, Social & Governance).

ARTIKEL BERKAITAN: Pusat RCA pertama inisiatif YTL Cement-CREAM: Malaysia ke arah ekonomi hijau, industri pembinaan mampan

ARTIKEL BERKAITAN: CREAM giat lakukan penyelidikan, bersedia untuk projek RCA skala besar ikut jejak negara maju

ARTIKEL BERKAITAN: Luaskan penggunaan RCA, kontraktor sambut baik inisiatif kurangkan kebergantungan sumber binaan semula jadi

ARTIKEL BERKAITAN: Konkrit terbuang kini jadi sumber bernilai, RCA mampu ganti 30 peratus agregat semula jadi

ARTIKEL BERKAITAN: RCA bantu jaga bumi, langkah besar ke arah pembinaan hijau sejajar prinsip ESG - Ahli akademik

Laporan itu turut mendedahkan bagaimana kaedah yang dilaksanakan itu menjadi alternatif mampan dalam industri pembinaan negara selain diyakini mampu menstabilkan pasaran serta memberi pilihan lebih luas kepada kontraktor.

Ketua Pengarang Beritanya, Niezam Abdullah berkata, pencapaian ini adalah hasil kerja keras pasukan berita mStar dalam usaha memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai manfaat sisa binaan yang boleh dikitar semula dalam menjaga alam sekitar.

Dalam masa yang sama kata Niezam, kemenangan ini turut membuktikan kepada pembaca bahawa kandungan mStar tidak hanya tertumpu kepada laporan hiburan dan viral semata-mata sebaliknya turut mengetengahkan informasi yang lebih bermanfaat dalam usaha mempelbagaikan bentuk laporannya.

“Kemenangan ini membuktikan bahawa mStar menyokong Pelan Strategi ESG Kebangsaan dengan melaporkan kandungan berkaitannya agar masyarakat lebih peka akan kepentingan menjadi alam sekitar.

”Lebih manis buat kami di mStar apabila dapat membuktikan kepada pembaca bahawa laporan yang dibuat bukan berpaksi kepada elemen hiburan semata-mata malah pelbagai kandungan berinformatif turut disajikan. Sebagai bukti, mStar meraih tiga kali kemenangan pada anugerah serupa,” katanya.

Kumpulan Media Star membolot banyak hadiah pada malam Anugerah Media Pembinaan CIDB 2025.

Selain mStar, Kumpulan Media Star menerusi unit fotografi membolot kesemua Anugerah Fotografi (tempat pertama, kedua dan ketiga) manakala tempat pertama bagi Anugerah Infografik Pegun dan ketiga untuk Anugerah Infografik Video.

AMP 2025 yang memasuki edisi kelapan pada tahun ini dianjurkan oleh CIDB Malaysia bersama Kementerian Kerja Raya (KKR), hasil kerjasama dengan Malaysian Press Institute (MPI).

Sebanyak tujuh kategori utama dipertandingkan iaitu Anugerah Media Cetak & Portal Berita (Laporan Khas Berita); Anugerah Media Cetak & Portal Berita (Rencana) Anugerah Media Penyiaran Televisyen & Video Dalam Talian (Laporan Khas dan Dokumentari); Anugerah Media Penyiaran Radio, Anugerah Fotografi, Anugerah Infografik Pegun dan Anugerah Infografik Video.

Tahun lalu mStar merangkul tempat kedua Anugerah Media Cetak & Portal Berita (Laporan Khas Berita) menerusi laporan khas yang mengangkat isu pengurusan lambakan warga asing di Malaysia.

Pada 2018, mStar mendapat tempat kedua bagi kategori media elektronik dan penyiaran dalam talian (berita & dokumentari) menerusi video Meredah Jejambat Paling Gayat Di Malaysia.

Artikel Lain