BEKAS ahli kumpulan Wings iaitu Black dan Eddie tampil memohon maaf kepada peminat susulan keputusan mereka menarik diri daripada kumpulan legenda itu, sekali gus tidak terlibat dalam Konsert Wings 40 Tahun yang berlangsung pada 28 November lalu.
Menurut Black, keputusan berkenaan dibuat selepas pertimbangan panjang dan bukanlah secara tergesa-gesa.
Jelasnya, setiap individu mempunyai had tersendiri dalam menghadapi sesuatu situasi.

Black dan Eddie mohon maaf kepada peminat-peminat Wings.
“Saya minta maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki kerana menghampakan peminat-peminat Wings.
“Bukan saya dan Eddie tidak mahu teruskan berkarya dengan Wings cuma keadaan tidak mengizinkan. Terutama ketika konsert sempena 40 tahun hari itu.
“Kami tidak ambil keputusan tergesa-gesa, setiap manusia ada hadnya dan pada satu masa saya sendiri rasa dah tak boleh,” katanya kepada mStar.
Black berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media konsert Pentas Barbarik Vol. 2 yang diadakan di Heritage Club and Lounge, Royale Chulan Kuala Lumpur, pada malam Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN: Black, Eddie umum keluar Wings
ARTIKEL BERKAITAN: Perpecahan kumpulan biasa terjadi, Awie terima dengan lapang dada… Tak lupa doa buat dua bekas anggota Wings
Berkongsi lanjut, Black menjelaskan pengundurannya bersama Eddie bukan disebabkan sebarang rasa dendam atau konflik peribadi, sebaliknya berpunca daripada ketidakserasian untuk terus bekerjasama.
Malah, kata Black, walaupun ada pihak menganggap tindakan mereka menarik diri daripada konsert ulang tahun ke-40 Wings sebagai satu keputusan yang merugikan dari sudut kewangan, namun prinsip dan kesejahteraan diri lebih menjadi keutamaan.
“Tiada dendam atau sebab lain, kami pun gembira mereka dapat laksanakan konsert 40 tahun dengan meriah.
“Kami tiada apa-apa masalah, tiada istilah jernih atau keruh, cuma kami dah tak boleh bekerjasama.
Tiada istilah jernih atau keruh, cuma kami dah tak boleh bekerjasama.
BLACK
BEKAS AHLI WINGS
“Orang mungkin sifatkan kami ni bodoh sebab itu duit, tapi bila bercakap soal kehidupan, kami terpaksa lakukan sesuatu untuk diri kami,” ujarnya.
Tambah Black, keputusan untuk berundur dibuat sebelum keadaan menjadi lebih rumit dan menjejaskan semua pihak termasuk peminat.
Black juga mendoakan agar perjalanan karier Wings terus berjalan lancar meskipun tanpa kehadiran dirinya dan Eddie.
“Muzik tak boleh hipokrit, kena jujur. Nanti kalau buat persembahan sebab terpaksa jadi tak seronok dan tipu diri sendiri.

Black dan Eddie ketika di sidang media konsert Pentas Barbarik Vol. 2.
“Sebelum perkara itu mengganggu semua pihak, kami ambil langkah undur diri.
“Anggota yang bersama Wings sekarang pun bagus dan berkaliber. Kami berdua mendoakan yang terbaik buat mereka,” jelasnya.
Untuk rekod, Black dan Eddie sebelum ini mengumumkan pengunduran mereka daripada kumpulan Wings pada 8 Oktober lalu, sekali gus tidak terlibat dalam konsert meraikan ulang tahun ke-40 penubuhan kumpulan rock legenda berkenaan.
Selepas pengunduran Black dan Eddie, kumpulan itu kini dibarisi Datuk Awie (vokal), Syam (gitar utama) dan Edrie (gitar irama).
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


