suria

KWSP ambil tindakan mahkamah terhadap majikan tidak mencarum

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah memfailkan 157 kes sivil dan 1,562 kes jenayah terhadap majikan kerana tidak mencarum untuk pekerja mereka pada suku ketiga tahun ini.

Sebanyak 165 majikan telah dikenakan denda berjumlah RM219,010 oleh mahkamah bagi kesalahan di bawah Seksyen 43(2) Akta KWSP 1991.

Syarikat Dignityview Sdn Bhd dari Terengganu dikenakan denda tertinggi sebanyak RM7,000, diikuti oleh Chin Lai Aluminium Industries Sdn Bhd dari Negeri Sembilan sebanyak RM6,000, demikian menurut KWSP dalam satu kenyataan di sini.

Sementara itu, tiga lagi syarikat, Unicleen Environmental Services Sdn Bhd dari Negeri Sembilan, Advanced Polytech Sdn Bhd dan Aseania Foilpack Sdn Bhd keduaduanya dari Pulau Pinang, masingmasing didenda RM5,000. "Majoriti majikan membayar caruman secara teratur namun masih ada yang gagal berbuat demikian.

"KWSP memandang serius perkara ini dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan yang tidak mencarum bagi melindungi simpanan persaraan ahli," kata Nik Affendi Jaafar, Pengurus Kanan Perhubungan Awam KWSP.

Menurut kenyataan itu, 334 nama pengarah syarikat juga telah dikemukakan kepada Jabatan Imigresen untuk menahan mereka daripada meninggalkan negara seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 39, Akta KWSP 1991.

Akta KWSP 1991 menetapkan semua majikan membayar caruman bulanan sebelum atau pada 15 haribulan setiap bulan atau jika tidak akan dikenakan tindakan undang-undang.

Lazimnya, mahkamah memberikan majikan sehingga enam kali bayaran ansuran untuk menjelaskan tunggakan caruman di mana dalam tempoh berkenaan KWSP akan terus memantau majikan terbabit bagi memastikan tunggakan caruman dibayar sepenuhnya.

KWSP akan mengkreditkan tunggakan caruman itu ke dalam akaun ahli setelah majikan membayar semua tunggakan caruman tersebut.

"Sekiranya majikan berkenaan masih gagal menyelesaikan tunggakan itu, KWSP akan mengambil tindakan seterusnya seperti melevi atau tindakan sivil terhadap pengarah syarikat terbabit," kata Nik Affendi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain