suria

Syed Hamid: "Tidak adil tuduh polis mencuri"

PUTRAJAYA: Dakwaan bahawa pasukan mencari dan menyelamat termasuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencuri barang-barang mangsa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa adalah tidak adil dan boleh menjejaskan maruah individu terlibat, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Beliau berkata kesemua anggota berkenaan telah berkorban masa dan tenaga demi tugas mencari dan menyelamat mangsa, justeru mereka wajar diberi penghargaan apatah lagi terpaksa memberikan khidmat dalam keadaan yang amat sukar.

Melakukan tugas dalam keadaan tertekan bukan sesuatu yang mudah, tetapi anggota bertugas telah membuktikan keupayaan mereka dengan begitu baik dan berwibawa.

"Mereka bekerja dengan begitu bersungguh-sungguh untuk mengawal jenayah dan keadaan sekeliling, termasuk membantu kesemua mangsa. Kesemua aktiviti mereka perlu dilakukan di dalam keadaan yang berbahaya serta berdepan dengan kemungkinan tanah runtuh yang boleh berlaku lagi. Hargailah mereka...," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Kualiti di Agensi Dadah Kebangsaan di sini hari ini.

Syed Hamid menyatakan demikian ketika diminta mengulas dakwaan terdapat segelintir anggota pasukan mencari dan menyelamat termasuk anggota PDRM mencuri barangbarang milik mangsa tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa.

Mengulas lanjut, beliau berkata mangsa yang terlibat seharusnya membuat laporan polis supaya siasatan boleh dilakukan.

"Walaupun ada laporan mengenai kejadian seumpama itu, ada kemungkinan ia dilakukan oleh orang lain yang menyamar kerana terdapat ramai orang di kawasan kejadian waktu itu," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain