suria

Bekas Pengurus Pejabat Pos Putrajaya dipenjara 3 tahun kerana pecah amanah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhi hukuman penjara selama tiga tahun terhadap bekas pengurus Pejabat Pos Putrajaya yang mengaku bersalah terhadap tuduhan pecah amanah wang pos RM95,500.

Hakim S.M. Komathy Suppiah memerintahkan Zaharah Jaafar, 45, menjalani hukuman itu bermula hari ini.

Pada 20 Ogos lepas, Zaharah mengaku bersalah di mahkamah yang sama melakukan pecah amanah membabitkan wang kutipan harian berjumlah RM95,500 milik Pejabat Pos Putrajaya, di pejabat pos berkenaan di Aras 1 Blok B1, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya, pada 18 Mei 2006.

Zaharah, 45, didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda dan boleh dikenakan sebatan.

Pada 24 November, mahkamah itu memerintahkan peguam yang mewakili Zaharah supaya mendapatkan laporan kesihatan berkaitan kanser servik anak guamnya terlebih dahulu, sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman.

Komathy menangguhkan hukuman ke hari ini selepas peguambela Hasnan Hamzah, yang mewakili Zaharah Jaafar, memohon anak guamnya itu dibebaskan dengan bon berkelakuan baik mengikut Seksyen 294 Kanun Acara Jenayah agar dia dapat menghabiskan sisa hidup bersama keluarga berikutan penyakit kanser servik yang dihidapinya.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aqeeb Lizalman Nordin Zamery.

Terdahulu sebelum menjatuhkan hukuman Komathy berkata, kesalahan yang dilakukan oleh Zaharah adalah serius, serta melibatkan jumlah wang yang besar, dan beliau perlu mengambil kira kepentingan awam sebelum menjatuhkan hukuman.

Menurut Komathy lagi hukuman itu penting sebagai iktibar kepada orang ramai bahawa sesiapa yang melakukan kesalahan tidak akan terkecuali daripada dikenakan hukuman yang berat.

Sementara itu laporan kesihatan yang diserahkan oleh Hasnan ke mahkamah hari ini menunjukkan bahawa Zaharah tidak mengalami kanser servik, sebaliknya hanya mengalami pendarahan serius.

Sebaik sahaja hukuman dijatuhkan, Zaharah, yang tiba di mahkamah seawal pukul 8.30 pagi dengan ditemani anak perempuannya yang berusia lingkungan 20an dan suaminya, menangis teresakesak.

Sejurus selepas Komathy selesai menjatuhkan hukuman dan masuk ke kamarnya, anak Zaharah terus meluru ke arah ibunya lalu memeluknya sambil menitiskan air mata. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain