suria

Beku sementara pengambilan pekerja asing sedang dikaji

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia sedang menimbang untuk membekukan sementara pengambilan pekerja asing, kata Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Rakyat, Datuk Ismail Abdul Rahim hari ini.

Beliau memberitahu tindakan itu adalah satu dari pilihan yang sedang diteliti oleh kementerian bagi membantu rakyat tempatan yang diketepikan peluang mendapat pekerjaan.

Sehingga bulan lepas, sejumlah 28,000 rakyat Malaysia yang menganggur telah berdaftar dengan Jabatan Tenaga Rakyat dan setakat ini jabatan itu dapat memberikan peluang pekerjaan kepada 6,000 orang daripada mereka.

Pada masa ini, terdapat 2.1 juta pekerja asing di Malaysia yang bersamaan dengan 20 peratus dari jumlah tenaga kerja di negara ini.

Baru-baru ini, ada laporan menyebut 2,000 hingga 3,000 penganggur berdaftar setiap bulan dengan kementerian itu.

Keadaan itu dijangka meningkat dalam bulan-bulan yang akan datang berikutan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu yang dijangka memberi kesan kepada Malaysia tahun depan.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang mewakili 550,000 pekerja sektor swasta dan Kongres Kesatuan Pekerjapekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang menjadi payung bagi 1.2 juta kakitangan awam, mengalualukan langkah pembekuan itu dan menyifatkannya sebagai "langkah logik bagi melindungi pekerja tempatan".

Naib Presiden MTUC, A.Balasubramaniam berkata pada masa ini terdapat lebihan pekerja asing di negara ini dan kini tiba masanya bagi mengurangkan jumlah mereka untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini.

Beliau mencadangkan supaya pekerja imigran yang telah menamatkan kontrak mereka supaya dihantar pulang ke negara masingmasing supaya tempat mereka dapat diisi rakyat tempatan.

Setiausaha Agung CUEPACS, Ahmad Shah Mohd Zin berkata walaupun kakitangan awam tidak terjejas dengan kebanjiran pekerja asing, tetapi ia merupakan trend yang membimbangkan kerana ia bukan sahaja menafikan peluang kerja rakyat tempatan tetapi kehadiran mereka menimbulkan masalah sosial. "Kami dapati kejadian jenayah meningkat di dalam negara kita dan sebahagian daripadanya boleh dikaitkan dengan orang asing dan rakyat Malaysia yang menjadi penganggur," katanya.

Ismail berkata Singapura telah memberikan petanda bahawa ia mungkin memberhentikan kirakira 500,000 pekerja dan sebahagian daripadanya mungkin terdiri daripada rakyat Malaysia.

Sebagai langkah proaktif, Jabatan Tenaga Rakyat telah membuka pendaftaran kepada pekerja ini dan mereka dinasihatkan untuk mendaftar dengan pejabat Tenaga Rakyat terdekat.

Mereka juga mempunyai pilihan untuk mendaftar melalui online melalui portal JobMalaysia yang dikendali jabatan itu. Para majikan yang mempunyai kerja kosong juga digalakkan menggunakan portal itu untuk mengiklankan peluang kerja. Ismail berkata kementerian sedang melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah pengangguran dan telah mengambil langkah proaktif bagi membantu rakyat Malaysia yang menganggur.

Esok, katanya, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam dan para pegawai kanan kementerian akan berada di Johor bagi menemui para majikan untuk memberikan taklimat mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dibuat berhubung pemberhentian pekerja.

Ismail berkata kementerian iu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan bersedia mengurangkan kesan daripada kehilangan kerja, melalui pelbagai usaha gantian kerja dan program latihan.

Beliau berharap semua pekerja, majikan dan kerajaan akan bekerjasama untuk mengurangkan jika tidak menghapuskan kesan akibat kehilangan kerja di negara ini berikutan krisis ekonomi dunia. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain