Abhisit Vejjajiva PM baru Thailand - Semasa | mStar

Abhisit Vejjajiva PM baru Thailand

[DIKEMAS KINI] BANGKOK: Pemimpin Demokrat, Abhisit Vejjajiva hari ini dilantik sebagai Perdana Menteri ke-27 Thailand oleh penggubal undang-undang negara berkenaan, membawa harapan yang tipis bahawa tunjuk perasaan jalanan dan keadaan huru hara selama berbulan-bulan akan sampai ke penghujungnya.

Beliau mendapat 235 undi bagi mengatasi bekas Ketua Polis dan pemimpin Puea Pandin, Pracha Phromnok yang meraih 198 undi dalam pemilihan yang berjalan lancar tanpa sebarang gangguan besar, berbeza dengan sesi terdahulu yang menyaksikan pertelagahan antara polis dan penunjuk perasaan anti kerajaan.

Abhisit, 44, anak kelahiran Britain, akan menggantikan Somchai Wongsawat yang dilucutkan jawatannya oleh Mahkamah Perlembagaan awal bulan ini apabila parti pemerintah, Parti Kuasa Rakyat (PPP) dibubarkan kerana melakukan penipuan pilihanraya.

Beliau adalah Perdana Menteri kelima dalam tempoh 27 bulan, dan ketiga dalam jarak tiga bulan.

Kemenangan beliau, dan kembalinya Demokrat berkuasa selepas selang tujuh tahun, dicapai setelah sekumpulan kecil bekas anggota PPP yang bersekutu dengan bekas Menteri, Newin Chidchob meninggalkan parti itu, selain beberapa parti yang merupakan sebahagian daripada kerajaan gabungan enam parti sebelum ini yang dipimpin oleh Somchai.

Abhisit, berkelulusan Oxford University, menyertai politik ketika berusia 27 tahun apabila menjadi Anggota Parlimen bagi sebuah kawasan pilihan raya di Bangkok.

Bagaimanapun beliau bukan Perdana Menteri termuda seperti yang disebut-sebut sebelum ini memandangkan Marshal Plaek Pibulsonggram serta M.R. Senee Pramoj memegang jawatan masing-masing pada umur 41 dan 40 tahun.

Beliau pernah berkhidmat sebagai jurucakap parti, jurucakap Kerajaan, Timbalan Setiausaha kepada Perdana Menteri, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pendidikan Parlimen, dan Menteri kepada Pejabat Perdana Menteri semasa Demokrat berkuasa.

Parti itu yang tertua di negara ini, kehilangan kuasa apabila parti Thai Rak Thai (TRT) pimpinan Thaksin Shinawatra mencatatkan kemenangan besar pada pilihan raya umum 2001 di sebalik krisis ekonomi 1997/98.

Thaksin sekali lagi menang pada 2005 tetapi disingkirkan oleh tentera pada September, 2006.

Parlimen Thai mempunyai 480 anggota namun buat masa ini terdapat hanya 437 Anggota Parlimen selepas pembubaran PPP, Chart Thai serta Matchima oleh mahkamah dan anggota eksekutif parti berkenaan dilarang terbabit dalam politik selama lima tahun, manakala seorang Anggota Parlimen Demokrat meninggal dunia pagi ini.

Meskipun mempunyai kira-kira 200 Anggota Parlimen sebaris dengan mereka, Pheu Thai, yang terdiri daripada penyokong Thaksin selepas PPP yang mereka anggotai dibubarkan, tidak meletakkan calonnya sendiri sebaliknya menyokong Pracha bagi mengelak satu lagi konflik oleh kumpulan antiThaksin yang menganjurkan demonstrasi jalanan selama 192 hari.

Kumpulan anti kerajaan Pakatan Rakyat Untuk Demokrasi (PAD) berikrar akan mengadakan tunjuk perasaan semula jika seorang lagi calon Thaksin dipilih untuk memegang tampuk pemerintahan, dan secara tidak langsung menyokong pencalonan Abhisit.

Negara ini terjebak dalam kekacauan politik dan ekonomi sejak penunjuk perasaan anti kerajaan mengadakan demonstrasi pada 25 Mei, disusuli dengan menawan Pejabat Perdana Menteri pada 26 Ogos sebelum menutup dua lapangan terbang utama di Bangkok akhir bulan lepas.

Sabtu lepas, Thaksin, dalam ucapan yang dirakamkan dari luar negara, menyampaikan amanatnya kepada lebih 50,000 penyokong yang berhimpun di sebuah stadium di sini dengan beliau membidas tentera kerana campur tangan dalam pemilihan Perdana Menteri baru ketika khabar angin memuncak bahawa Panglima Tentera Jen Anupong Paochinda meminta parti yang lebih kecil dan puak Newin supaya menyokong Abhisit.

Sekumpulan kecil penyokong Thaksin yang terkenal dengan baju merah mereka, cuba menyekat pintu pagar Parlimen selepas kemenangan Abhisit diumumkan namun berjaya dihalang oleh polis rusuhan.

Abhisit sebelum ini dikritik oleh penyokong kerajaan kerana senyap-senyap menyokong PAD dalam tunjuk perasaan yang diadakan, dan beberapa pemimpin Demokrat juga merupakan sebahagian daripada kumpulan itu yang mula mendapat perhatian apabila mereka mengadakan demonstrasi besarbesaran menentang Thaksin pada 2006. BERNAMA

Artikel Sebelum

Syed Hamid: "Tidak adil tuduh polis mencuri"

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Artikel Lain