POLIS mengesahkan seorang lelaki maut susulan insiden letupan yang berlaku di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada pagi Isnin.Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, lelaki tempatan berusia 24 tahun yang bekerja dengan syarikat kontraktor penyaman udara itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Sembilan individu lain turut cedera dalam kejadian letupan pada pukul 11.40 pagi itu."Mangsa yang terlibat terdiri daripada pelajar, kakitangan pengurusan, pekerja kontraktor serta warga asing yang bekerja sebagai penjaga kafeteria di universiti berkenaan," katanya dalam sidang media hari ini.Terdahulu, pihak berkuasa menerima panggilan mengenai kejadian letupan yang berlaku di tingkat empat bangunan universiti berkenaan, membabitkan sebuah pemampat penyaman udara di kawasan penyelenggaraan berhampiran kafeteria.Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi kenyataan pada Isnin turut mengarahkan pihak universiti berkenaan untuk membuat pemeriksaan keselamatan segera ke atas semua kemudahan dalam kampus."Ia bagi memastikan kawasan terjejas disahkan selamat oleh pihak berkuasa sebelum digunakan, serta menyediakan sokongan kebajikan termasuk perubatan dan psikososial kepada semua mangsa yang terlibat."KPT akan terus memantau perkembangan insiden tersebut dan tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan demi memastikan persekitaran kampus yang selamat dan kondusif supaya kesejahteraan warga pendidikan tinggi terus terjamin."KPT merakamkan ucapan takziah dan dukacita kepada keluarga seorang mangsa yang maut serta sembilan orang lagi yang cedera, termasuk empat orang pelajar," menurut kenyataan itu.