Pihak berkuasa menjalankan siasatan di lokasi penemuan mayat dua individu di kawasan parkir Bandar Sejati Walk, Sandakan, pada pagi Ahad.
DUA individu ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa di dalam sebuah kereta yang diletakkan di kawasan parkir Bandar Sejati Walk, Batu 7, Sandakan, pada pagi Ahad. Polis setakat ini menolak sebarang unsur jenayah dalam kejadian tersebut. Polis Daerah Sandakan memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada pukul 8.26 pagi berhubung penemuan dua mayat di dalam sebuah kenderaan di lokasi berkenaan.Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintenden Ramasamy Kuppan, berkata pemeriksaan awal mendapati mangsa terdiri daripada seorang lelaki berusia 18 tahun dan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, yang dipercayai mempunyai hubungan peribadi.Menurut beliau, sepasukan anggota polis bersama unit forensik bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut. Kedua-dua mangsa ditemukan berada di bahagian tempat duduk penumpang belakang kereta tersebut.“Pemeriksaan mendapati semua tingkap kenderaan ditutup rapat dan dikunci sepenuhnya. Tiada sebarang kehilangan barang berharga dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan ada Ahad.Tambah beliau, siasatan awal juga mendapati kedua-dua mangsa tidak dapat dihubungi oleh ahli keluarga sejak hari Jumaat. Kenderaan berkenaan kemudiannya ditemui oleh bapa kepada salah seorang mangsa sebelum penemuan kedua-dua remaja tersebut di dalam kereta.“Pemeriksaan awal terhadap mayat tidak menunjukkan sebarang tanda kecederaan fizikal. Setakat ini, pihak polis tidak mengesan sebarang unsur jenayah atau perbuatan khianat,” jelasnya.Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Duchess of Kent, Sandakan untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.Polis memaklumkan siasatan masih diteruskan dan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut serta memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh. -The Star