Dr Ahmad Fauwaz menasihati pihak penganjur agar membatalkan sebarang aktiviti yang mempunyai unsur mempromosikan budaya songsang.
INDIVIDU atau pihak yang terlibat dalam program Glamping With Pride perlu dikenakan tindakan tegas dan hukuman berat setimpal dengan kejelekan maksiat yang dilakukan.Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Ahmad Fauwaz Fadzil menegaskan, penganjuran program yang cuba menyuntik elemen songsang biarpun dikaburi dengan aktiviti rekreasi yang kelihatan normal seperti glamping, adalah jelas dilarang. Menurutnya, ia merupakan satu bentuk mempromosikan perbuatan maksiat dan dosa secara terbuka lebih-lebih lagi di negara Malaysia yang meletakkan agama Islam sebagai agama Persekutuan. "Setiap individu dan golongan yang terlibat dalam program maksiat seperti ini perlu dikenakan tindakan tegas dan hukuman yang berat setimpal dengan kejelekan maksiat yang dilakukan tersebut. "Dalam konteks sebuah negara berdaulat, setiap penganjuran program awam mestilah menghormati sensitiviti agama, undang-undang dan norma budaya tempatan. "Pihak berkuasa dan pemilik premis rekreasi perlulah lebih peka dan bertegas dalam menapis sebarang aktiviti yang cuba menormalisasikan budaya yang bertentangan dengan enakmen jenayah syariah sedia ada," ujarnya menerusi Tinta Mufti Wilayah Persekutuan pada laman web rasmi Mufti Wilayah, pada Ahad.Justeru, beliau menasihati pihak penganjur agar membatalkan atau menghentikan sebarang aktiviti yang mempunyai unsur mempromosikan budaya songsang."Masyarakat juga diseru agar tidak memberikan sebarang sokongan atau pengiktirafan terhadap program-program yang mempunyai agenda tersembunyi untuk merosakkan aqidah dan akhlak anak muda kita. "Sikap berdiam diri terhadap kemungkaran yang dipromosikan secara terang-terangan dikhuatiri akan mengundang bala yang menyeluruh."Jika ada dalam kalangan yang terlibat ingin bertaubat dan menyesal dalam perbuatan mereka tersebut, ketahuilah pintu taubat sentiasa terbuka bagi mereka yang ingin kembali kepada fitrah," ujarnya lagi.Sebelum ini sebuah kumpulan pro lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBTQ) memaklumkan akan meneruskan program perkhemahan berkenaan yang dijadualkan berlangsung pada 17 dan 18 Januari di Hulu Langat, meskipun mendapat bantahan ramai termasuk PAS Selangor.Kumpulan yang dikenali sebagai Jejaka berkata, program Glamping With Pride digambarkan sebagai satu retreat berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya serta kesedaran kesihatan, yang mana menurut mereka aktiviti sedemikian tidak melanggar undang-undang negara.