Kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Kepong, Kuala Terengganu awal pagi tadi yang mengorbankan nyawa Noor Hazimi. -Foto FB Info Kemalangan & Bencana Malaysia
PERJALANAN pulang seorang pelajar tingkatan 3 ke rumah untuk mengambil adik perempuannya sebelum ke sekolah bersama-sama berakhir dengan tragedi, apabila dia meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dari arah bertentangan.Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, dalam kejadian sekitar pukul 6.40 pagi Ahad, di Jalan Kepong, Kuala Terengganu, mangsa Noor Hazimi Noor Hashim meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di beberapa bahagian badan. Ujarnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila motosikal Honda EX5 yang ditunggang oleh mangsa dari arah Caltex Pengadang Baru telah dirempuh oleh kereta Perodua Axia yang datang dari arah Kampung Serada menghala ke Titian Baru, Tepoh, Kuala Nerus.ARTIKEL BERKAITAN: "Anak siapalah tu, kesiannya...” - Ibu bapa pelajar UniSZA sempat lalu di lokasi nahas"Kemalangan menyebabkan Noor Hazimi maut di tempat kejadian, manakala pemandu Axia tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.Impak perlanggaran tersebut turut menyebabkan motosikal ditunggangi mangsa terbakar di tempat kejadian. Difahamkan, mangsa terdahulu ke stesen minyak bagi mengisi petrol motosikalnya dan mahu pulang ke rumah untuk mengambil adik perempuannya yang berusia 14 tahun sebelum ke sekolah bersama-sama.Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.