SEORANG lelaki warga Pakistan maut manakala rakannya cedera parah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh tembok Plaza Tol Sungai Dua, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Butterworth, Pulau Pinang, Ahad malam.Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.43 malam. "Insiden membabitkan dua mangsa warga Pakistan yang tersepit di bahagian pemandu dan penumpang dalam sebuah kenderaan jenis Perodua Aruz yang terbabas lalu merempuh tembok plaza tol berkenaan."Mangsa pertama (duduk di bahagian penumpang) dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba di lokasi. Dia kemudian dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ)."Mangsa kedua (pemandu) dikeluarkan pukul 11.15 malam oleh anggota bomba menggunakan peralatan khas namun meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan Isnin.Menerusi rakaman kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan yang turut lalu di plaza tol berkenaan, kelihatan kenderaan mangsa melencong secara tiba-tiba sebelum merempuh tembok plaza tol.Rakaman [Tonton video] berdurasi satu minit 40 saat itu turut memaparkan kenderaan tersebut berpusing sejurus melanggar tembok sebelum terbalik di atas jalan raya.Beberapa orang awam yang berada di lokasi pada malam kejadian cuba membantu mengeluarkan mangsa sebelum ketibaan pasukan bomba.Sementara itu, identiti mangsa maut masih belum dikenal pasti manakala rakan mangsa yang parah dikenali sebagai Zafar Iqbal berusia 42 tahun.