KEJADIAN treler melanggar dan menyeret tiga kereta yang diletakkan di garisan kuning laluan masuk ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Jejantas Ayer Keroh, Melaka pada 28 Disember lalu terus menjadi perbincangan hangat dalam kalangan netizen.Insiden itu mencetuskan perdebatan apabila ada pihak menyalahkan pemandu treler, manakala sebahagian lagi berpendapat pemilik kereta turut bersalah kerana meletakkan kenderaan di kawasan yang tidak dibenarkan. Peguam, Hasif Hasan menjelaskan bahawa sekiranya laporan polis dibuat sama ada oleh pemilik kereta atau pemandu treler, pihak polis wajib menjalankan siasatan secara adil berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.Menurutnya, terdapat perbezaan antara proses siasatan dan tindakan menuduh di mahkamah, kerana kedua-duanya merupakan dua perkara yang berasingan.ARTIKEL BERKAITAN: [V] Padah parkir atas garisan kuning, tiga kereta diseret treler di R&R Jejantas Ayer Keroh“Bagi tindakan pemandu treler yang melanggar dan menyeret kenderaan, siasatan boleh dibuat di bawah Seksyen 425 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan khianat, yang melibatkan niat untuk menyebabkan kerugian dengan membinasakan harta milik orang lain.“Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan, hukuman yang boleh dikenakan adalah penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya menerusi hantaran di Facebook.Dalam masa sama, Hasif menjelaskan bahawa pemilik kereta yang terlibat juga boleh disiasat di bawah Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu kesalahan menyebabkan halangan di jalan raya.“Seksyen ini merujuk kepada perbuatan memberhentikan kenderaan di mana-mana jalan sehingga menyebabkan halangan atau kesusahan tidak berpatutan kepada pengguna jalan raya lain.“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM5,000, atau dipenjara selama tempoh tidak kurang satu tahun, atau kedua-duanya,” jelasnya.Tambah Hasif, selepas siasatan selesai, kuasa untuk menentukan pertuduhan dan peruntukan undang-undang yang sesuai terletak sepenuhnya kepada pihak pendakwa raya.“Apabila pertuduhan dibacakan di mahkamah, tertuduh mempunyai hak untuk mengaku bersalah atau tidak mengaku bersalah dan seterusnya memohon untuk dibicarakan,” katanya.Dalam konteks tuntutan ganti rugi, Hasif memaklumkan bahawa pemilik kereta masih mempunyai hak untuk memfailkan saman sivil terhadap pemilik atau pemandu treler bagi menuntut pampasan kerosakan.Namun begitu, beliau menegaskan bahawa pemilik lori treler juga berhak untuk menjawab, mengetepikan atau membatalkan saman tersebut mengikut proses undang-undang.“Persoalan sama ada tuntutan ganti rugi boleh dibenarkan, khususnya jika kawasan berkenaan telah digazetkan sebagai kawasan larangan parkir, akan diputuskan oleh majistret selepas kes dibicarakan,” katanya.