suria

Bau sisa makanan selepas majlis makan-makan buat rasa tak selesa... Lakukan 4 perkara ini demi kembalikan kesegaran dapur dan rumah

Bau yang ditinggalkan selepas memasak memang kurang menyenangkan. -Gambar hiasan AI

KEHADIRAN bau makanan yang tertinggal selepas acara jamuan di rumah pasti membuatkan penghuninya rasa kurang selesa.

Aroma daripada masakan yang pada awalnya menyelerakan, boleh bertukar menjadi bau kurang menyenangkan terutamanya jika terdapat sisa makanan yang belum dibuang.

Jadi sempena sambutan tahun baharu 2026, pasti ramai menganjurkan majlis makan-makan di rumah memandangkan kita menikmati cuti hujung minggu yang panjang.

Bagi memastikan rumah kekal segar dan bebas bau tidak menyenangkan, berikut empat tip yang boleh diamalkan seperti dikongsikan laman The Spruce.

1. Buang segala punca bau secepat mungkin

Singkirkan sumber bau dengan segera seperti makanan yang mempunyai bau menyengat, mudah dikesan dan boleh menjejaskan aroma hidangan lain.

Pada masa sama, biasakan mencuci peralatan memasak secara berperingkat semasa proses memasak berlangsung.

Gunakan masa menunggu masakan mendidih untuk mula membersihkan dapur kerana peralatan yang dibiarkan bertimbun di singki juga boleh menjadi tempat pembiakan bakteria penyebab bau.

Kitchen hood perlu dicuci sebelum atau selepas selesai memasak. -Gambar hiasan AI

2. Elakkan guna pewangi udara di dapur

Walaupun pewangi udara dan lilin aromaterapi memberikan bau wangi yang menenangkan, ia sebenarnya kurang sesuai digunakan di dapur.

Dalam kebanyakan kes, menyingkirkan punca bau adalah lebih berkesan berbanding menutupnya dengan bau lebih kuat kerana ia boleh menghasilkan campuran bau lebih tidak menyenangkan.

Sebagai alternatif, gunakan pencuci serbaguna dengan bau lembut dan disukai ahli keluarga.

3. Tukar span dan kain lap dapur

Bersihkan alatan seperti span dan kain lap dapur kerana ia merupakan antara punca utama bau disebabkan pembiakan bakteria.

Rendam span dan kain lap di dalam campuran air dan sedikit peluntur untuk proses pembasmian kuman sebelum mencucinya.

Cara ini bukan sahaja membunuh bakteria, malah memastikan peralatan dapur kekal segar dan bebas bau.

4. Bersihkan dan gunakan alat penyedut asap dapur

Jika penyedut asap dapur sudah lama tidak dibersihkan, lakukan pembersihan sebelum atau selepas memasak.

Ventilasi atau kitchen hood yang bersih memainkan peranan penting dalam mengurangkan bau tidak menyenangkan. 

Hidupkan penyedut asap sebaik sahaja mula memasak dan biarkan ia terus berfungsi selama lima hingga 10 minit selepas selesai memasak.

Langkah ini membantu menyingkirkan asap, wap dan sisa partikel makanan yang boleh menyebabkan bau. -Agensi

Artikel Lain