suria

Sebelum masuk 2026 periksa 6 peralatan elektrik di rumah... Takut lepas jangka hayat, masih berfungsi tapi punca bazir elektrik

Ada beberapa alatan elektrik dalam rumah perlu dibuang sekiranya melebihi tempoh hayat. -Gambar hiasan AI

RAMAI menyangka peralatan rumah boleh digunakan bertahun-tahun selagi masih berfungsi namun hakikatnya, setiap peralatan elektrik mempunyai jangka hayat tertentu.

Apabila melepasi sesuatu tempoh, alatan elektrik itu mula hilang kecekapan serta boleh menjadi punca pembaziran elektrik dan risiko keselamatan.

Perkara ini turut ditegaskan beberapa agensi keselamatan dan jabatan tenaga di Amerika Syarikat (AS) serta Eropah yang mengeluarkan garis panduan tempoh penggunaan selamat peralatan rumah.

Berikut enam peralatan rumah yang perlu diberi perhatian:

1. Rice cooker atau periuk nasi

Menurut U.S. Consumer Product Safety Commission (CPSC), elemen pemanas dan termostat pada peralatan pemanas elektrik akan mengalami penurunan ketepatan selepas beberapa tahun digunakan.

Jika rice cooker sudah melebihi lima tahun, tanda-tanda biasa ialah nasi cepat kering, bahagian bawah mudah hangus atau haba menjadi tidak stabil.

Dalam jangka panjang, komponen elektrik yang 'menua' juga berisiko mencetuskan litar pintas.

2. Peti sejuk

Menurut U.S. Department of Energy (DOE), jangka hayat optimum peti sejuk hanyalah sekitar 10 hingga 13 tahun sebelum kecekapan tenaga merosot walaupun ia masih sejuk.

Kompresor akan bekerja lebih kuat, penggunaan elektrik meningkat dan risiko kebocoran bahan penyejuk turut bertambah. 

Peti sejuk lama juga berkemungkinan tidak lagi memenuhi piawaian keselamatan dan kecekapan tenaga terkini.

Sesetengah peralatan elektrik di rumah perlu dibuang bagi mengelakkan risiko bahaya. -Gambar hiasan AI

3. Mesin basuh

Energy Saving Trust United Kingdom menyatakan mesin basuh biasanya mempunyai jangka hayat sekitar lapan hingga 11 tahun, bergantung kepada kekerapan penggunaan dan tahap penyelenggaraan.

Mesin yang digunakan hampir setiap hari lebih cepat 'haus', terutama pada bahagian dram dan motor. 

Antara tanda mesin basuh 'tua' ialah bunyi semakin bising, getaran berlebihan dan kuasa perahan yang semakin lemah. 

Kebocoran air juga boleh mengundang risiko elektrik jika tidak ditangani segera.

4. Seterika

Walaupun kelihatan ringkas, seterika sebenarnya cepat mengalami degradasi pada kabel, elemen pemanas dan pengawal suhu.

Menurut Electrical Safety Foundation International (ESFI), seterika yang berusia lebih lima tahun berisiko mengalami panas melampau, suhu tidak stabil serta kerosakan kabel yang tidak kelihatan dari luar.

ESFI turut merekodkan bahawa peralatan pemanas mudah alih seperti seterika antara penyumbang utama kejadian kebakaran di rumah.

5. Dispenser air panas dan sejuk

Dispenser jenis ini beroperasi hampir tanpa henti kerana mempunyai sistem pemanas dan penyejuk. 

UK Electrical Safety First menjelaskan peralatan yang memanaskan air secara berterusan mempunyai jangka hayat lebih pendek berbanding peralatan pasif.

Jika dispenser sudah melebihi tujuh tahun, risiko kerosakan pada elemen pemanas dan sistem elektrik meningkat walaupun ia masih kelihatan normal ketika digunakan.

6. Kuali teflon dan anti-lekat

U.S. Food and Drug Administration (FDA) serta European Food Safety Authority (EFSA) menasihatkan supaya kuali yang lapisan anti-lekatnya sudah mengelupas tidak lagi digunakan.

Lapisan yang rosak boleh melepaskan partikel mikro apabila dipanaskan, terutamanya jika kuali sering digunakan pada suhu tinggi. 

Umur pakai kuali jenis ini lazimnya hanya dua hingga tiga tahun, bergantung kepada cara penggunaan dan penjagaan.

Artikel Lain