BEBERAPA hari saja lagi, tahun 2025 bakal melabuhkan tirainya.
Pelbagai peristiwa suka dan duka yang meninggalkan kenangan manis mahupun pahit tersimpan erat dalam lipatan memori sepanjang tahun ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Ruhainies ‘kalahkan’ Faisal Halim! Ini 5 senarai ‘top search’ Google Malaysia sepanjang 2024
Dalam kalendar 2025, pelbagai isu dan peristiwa semasa mencuri tumpuan rakyat Malaysia, sekali gus mencerminkan apa yang paling dekat di hati dan fikiran mereka.
Sebelum membuka lembaran baharu, apa kata kita intai carian yang paling popular sepanjang tahun ini, sebagaimana senarai yang dikeluarkan Google Malaysia.

Gemini digunakan secara meluas untuk membantu tugasan kerja dan pembelajaran. -Gambar hiasan
1. Carian paling popular - Gemini
Gemini menjadi antara carian paling tinggi sepanjang 2025 apabila ramai rakyat Malaysia mula meneroka penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam kehidupan seharian.
Dibangunkan oleh Google, Gemini digunakan untuk pelbagai tujuan termasuk menjawab soalan, membantu tugasan kerja dan pembelajaran, menghasilkan teks, idea kreatif serta menganalisis maklumat dengan lebih pantas dan efisien.
Peningkatan minat terhadap teknologi AI menjadikan Gemini antara topik paling hangat dicari tahun ini.

STR adalah inisiatif kerajaan dalam menangani kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah. -Gambar hiasan
2. Berita Malaysia - Sumbangan Tunai Rahmah (STR)
STR terus menjadi perhatian utama rakyat Malaysia sepanjang 2025 apabila program bantuan kewangan oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ini diperluaskan kepada lebih ramai penerima.
Carian meningkat setiap kali pengumuman fasa pembayaran dibuat, mencerminkan kebergantungan rakyat terhadap inisiatif kerajaan ini dalam menangani kos sara hidup yang semakin mencabar.
Selain STR, topik dalam kategori ini yang paling banyak dicari oleh rakyat Malaysia adalah termasuk MyKasih,Budi95, MySalam dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Amira mula menjadi sebutan ramai apabila mendirikan rumah tangga bersama Fattah Amin.
3. Figura - Amira Othman
Amira Othman atau nama sebenarnya, Nadia Amira Othman adalah penyanyi dan pelakon yang mula dikenali selepas meraih tempat ketiga rancangan realiti televisyen Akademi Fantasia Musim ke-10 (AF2013).
Namanya semakin menjadi sorotan umum apabila mendirikan rumah tangga bersama pelakon lelaki popular, Fattah Amin pada 14 September lalu.
Pelantun lagu Rasa & Takdir dan Hati-hati ini sekali gus mengalahkan nama-nama besar lain seperti Gretha Thunberg, Naim Daniel, Donald Trump dan Syed Saddiq dalam kategori sama.

Filem Blood Brothers meraih kutipan RM76 juta.
4. Filem - Blood Brothers
Blood Brothers, filem arahan bersama Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra mengangkat tema tentang persaudaraan serta persahabatan, pengkhianatan dan dendam.
Filem yang dibintangi pelakon berbakat besar Syafiq Kyle dan Sharnaaz Ahmad ini merangkul beberapa anugerah iaitu Anugerah Khas Filem Box Office pada Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34), dan Anugerah Istimewa Juri pada Festival Filem Asia Pasifik ke-62 (APFF62).
Filem ini merupakan karya tempatan kedua terlaris sepanjang zaman dengan kutipan RM76 juta di belakang Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan (RM97.4 juta).
Squid Game mencetuskan fenomena global sejak 2021.
5. Drama - Squid Game
Drama Korea, Squid Game terus mencetuskan fenomena global apabila kembali mencuri perhatian penonton pada 2025.
Dikenali dengan jalan cerita yang mendebarkan, drama ini mengisahkan sekumpulan individu yang terdesak daripada segi kewangan dan sanggup mempertaruhkan nyawa dalam permainan kanak-kanak yang dimanipulasi menjadi pertarungan hidup dan mati.
Selain Squid Games, drama lain yang menjadi perhatian rakyat Malaysia adalah Love's Ambition, Emerald Hill – The Little Nyonya Story, Anonymous Signal dan When Life Gives You Tangerines.


