suria

Letak telefon sedang dicas bawah bantal... Tak sampai 1 jam tilam, cadar terbakar

Keadaan telefon dan tilam yang dikongsi individu berkenaan.

SATU kejadian mencemaskan berlaku pada pagi Khamis apabila telefon pintar yang dicas dan diletakkan di bawah bantal didakwa menjadi punca kebakaran kecil dalam bilik tidur.

Menurut perkongsian seorang wanita di media sosial, kejadian berlaku ketika suaminya meletakkan telefon di bawah bantal, selepas sempat menggunakan peranti berkenaan kira-kira satu jam sebelum tidur.

"Dia sambung tidur semula kemudian terbangun dan tengok bantal, tilam dan cadar sudah terbakar. Nasib baik api tidak menyambar langsir," katanya sambil meluahkan rasa syukur kerana keadaan tidak menjadi lebih buruk.

Tambahnya, telefon tersebut diletakkan di bawah bantal tanpa sebarang objek lain, namun dalam tempoh kurang sejam peranti itu dikatakan cair akibat terlalu panas.

Dalam foto yang dikongsikan, kelihatan telefon itu masih berada dalam sarung (casing), namun pelindung tersebut turut cair akibat haba melampau. 

Keadaan cadar yang terbakar.

Turut kelihatan kesan lecur dan kebakaran pada cadar serta tilam berlubang akibat kebakaran tersebut.

Sebelum ini, Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) pernah berkongsi peringatan keselamatan berkaitan pengecasan telefon pintar.

Sebagai langkah keselamatan, pengguna dinasihatkan agar tidak meletakkan peranti di bawah bantal atau di atas permukaan lembut ketika dicas.

Menurut CFM, telefon pintar cenderung menjadi lebih panas semasa pengecasan dan penggunaan 'casing' boleh mengehadkan pelepasan haba. 

Keadaan ini berisiko menyebabkan peranti terlalu panas dan seterusnya mengundang bahaya kebakaran.

Justeru orang ramai disarankan mengecas telefon di kawasan yang mempunyai pengudaraan baik supaya telefon 'bernafas'.

Pengguna disarankan untuk menanggalkan 'casing' jika perlu, serta mengelakkan penggunaan telefon ketika ia sedang dicas bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini.

Artikel Lain