SEORANG bekas juruteknik di syarikat kenderaan popular tampil berkongsi kisah mengenai apa yang didakwanya sebagai 'realiti sebenar' proses penyelenggaraan kenderaan di pusat servis.
Lelaki itu mendakwa, ketika pelanggan menghantar kereta untuk diselenggara, ada pekerja yang tidak bertanggungjawab apabila mereka menipu dari segi pertukaran serta pemasangan komponen.
"Pelanggan datang untuk servis major (besar) dan bersetuju tukar semua komponen. Tapi ada barang yang mereka tak guna (pasang), sebaliknya disimpan dalam kotak.
"Bila dah kumpul banyak boleh dapat satu karton, baru dijual pula kepada orang luar," dakwanya.
Lebih mengejutkan, dakwanya, penipuan tidak terhad kepada komponen serta alat ganti tetapi turut melibatkan minyak enjin, pelbagai jenis cecair automotif dan penapis minyak yang tulen.
"Minyak enjin original, auto fluid, enjin flush, sabun cuci wiper malah oil filter yang belum buka seal (penutup) pun ada yang jual kepada orang luar.

Kenderaan perlu diselenggara secara berkala bagi mengelakkan masalah timbul ketika pemanduan. -Gambar hiasan
"Mereka berani sebab pelanggan tak dibenarkan masuk ke kawasan bay atas alasan keselamatan," dakwanya.
Perkongsian itu juga disokong oleh seorang lagi individu yang turut mendakwa dirinya adalah bekas pekerja di sebuah syarikat kereta.
"Memang betul benda ni berlaku. Lepas servis, selalunya ada lebihan minyak enjin tapi tak diberi kepada pelanggan. Bila dah kumpul sikit-sikit sehingga mencukupi satu botol, mereka guna pula untuk kereta pelanggan lain," dakwanya.
Dakwanya lagi, ada juga situasi di mana minyak enjin yang digunakan bukan dari jenama kilang asal seperti yang dimaklumkan kepada pelanggan.
Menurut individu berkenaan, budaya mengejar jualan dan keuntungan peribadi didakwa menjadi punca utama amalan tidak beretika itu berterusan.
"Spare part baharu jarang digunakan. Kebanyakannya barang 'rotate'. Pad brek kualiti rendah pun mereka kata dari Jepun.
"Jual barang original kereta untuk 'duit tepi' memang perkara biasa. Lebih baik buat servis di bengkel luar berbanding pusat servis,” dakwanya lagi.
Bagaimanapun, dakwaan ini merupakan perkongsian pengalaman individu dan tidak mewakili semua pusat servis atau pengeluar kenderaan.


