suria

Eddie Hamid sanggup tunggu Eda Ezrin, enggan lepaskan lagu ‘Adek Saye Abe Sore’ kepada penyanyi lain

Eda dan Den sekali lagi tampil bersama dalam lagu baharu.

KOLABORASI nyanyian Eda Azrin dan Den Manjo dalam lagu Cinta Setandan Pisang mendapat sambutan baik dalam kalangan peminat muzik. 

Susulan itu komposernya iaitu Eddie Hamid tampil dengan sebuah karya baharu berjudul Adek Saye Abe Sore yang merupakan kesinambungan lagu sebelum ini. 

Meskipun mengambil masa untuk disiapkan, Eddie memberitahu dia sanggup menunggu kerana lagu tersebut dicipta khas buat Eda dan Den. 

Eddie (kanan) hasilkan lagu khas buat Eda. 

"Lagu ini dihasilkan dengan muzik yang lebih moden walaupun masih mengekalkan elemen dikir barat. Saya menjangkakan lagu ini juga akan mendapat sambutan baik sebagaimana Cinta Setandan Pisang.

"Sebenarnya, saya sudah buat lagu ini lebih setahun lalu, tapi terpaksa disimpan kerana kejadian yang berlaku terhadap Eda. Malah ramai penyanyi lain yang meminta lagu ini, namun saya tetap menyimpannya untuk Eda Ezrin.

"Ini kerana genre dan vokal lagu ini sangat sesuai dibawakan oleh Eda memandangkan ia adalah kesinambungan daripada karyanya yang terdahulu," katanya. 

ARTIKEL BERKAITAN: Eda Ezrin kongsi pengalaman tirai besi, boleh beli biskut dan alat solek sendiri  

ARTIKEL BERKAITAN: Netizen hukum tanpa tahu cerita sebenar, Eda Ezrin berlapang dada kena fitnah... “Saya dikhianati rakan sendiri”

Eddie terpaksa menangguhkan proses rakaman susulan penahanan Eda selama sembilan bulan di Thailand atas dakwaan memiliki dadah jenis pil kuda. 

Sementara Eda atau Wan Norsahidah Azlin Wan Ismail, 31, meluahkan rasa syukur kerana masih diberi kepercayaan oleh Eddie untuk tampil dengan lagu duet bersama Den. 

Bercakap lanjut, penyanyi ini memberitahu keserasian bersama Den sebelum ini juga memudahkan proses rakaman lagu tersebut. 

Eda serasi berduet dengan Den. 

"Alhamdulillah, syukur sangat kerana Eddie masih memberi kepercayaan kepada saya untuk menyanyikan lagu ciptaannya. 

"Untuk menyanyikan lagu ini, saya tak ada masalah kerana saya sudah pernah berkolaborasi dengan Den. Masing-masing tahu tanggungjawab," ujarnya. 

Lagu Adek Saye Abe Sore merupakan ciptaan Eddie bersama Mekiya dan liriknya ditulis oleh Fadil Turbo, Mama Ana, Jaju serta Te Ha. 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain