KETIKA segelintir individu rancak berkongsi tip di media sosial selepas berjaya menurunkan berat badan, pemuda ini pula tampil berkongsi pandangan berbeza.
Menurut Tarique Syahman dalam hantarannya di Threads, seseorang tidak perlu terlalu terbuka berkongsi kejayaan menurunkan berat badan di platform awam.
"Kalau kau dah berjaya kuruskan badan, jangan sesekali kau cerita dekat media sosial ni. Kau diam-diam sudah.
"Biar orang yang jumpa kau secara berdepan sahaja akan tahu. Menu diet kau tengah disiplin amalkan pun kau jangan share.
"Kau brisk walk ke, jogging atau pergi gim dekat mana pun kau jangan beritahu," katanya dalam hantaran tersebut.

Ramai yang sudah ada kesedaran untuk jalani gaya hidup sihat. -Gambar hiasan
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, pemuda berkenaan berkata, ia berdasarkan pemerhatiannya terhadap beberapa individu yang terlalu awal berkongsi perjalanan menurunkan berat badan akhirnya kembali berisi selepas tempoh tertentu, termasuk dirinya sendiri.
"Dah banyak kali jadi dekat kawan-kawan saya. Saya pun pernah kena juga sebab tu saya tahu. Tak tahu la benda ni penyakit ain ke apa.
"Tapi memang selalu nampak yang suka buat perkongsian tu nanti sekejap saja (badan) naik balik. Jadi, macam saya cakap... diam-diam sudah. Tunjuk (hasil), bukan beritahu," katanya.
Tarique menasihatkan agar perubahan gaya hidup sihat dilakukan secara konsisten tanpa perlu dihebahkan kerana hasil sebenar lebih bermakna apabila dibuktikan melalui tindakan, bukan perkongsian semata-mata.


