suria

Usah bergantung kepada kopi, pakar kongsi 7 alternatif mudah elak mengantuk

Kafein yang diambil secara berlebihan boleh memberi kesan seperti jantung berdebar dan sukar tidur. -Gambar hiasan AI

KELETIHAN pada waktu pagi atau tengah hari sering membuatkan ramai memilih menghirup secawan kopi sebagai 'penyelamat' untuk kekal segar dan fokus dalam menjalani rutin harian. 

Namun, pengambilan kafein berlebihan juga boleh memberi kesan seperti jantung berdebar, sukar tidur dan kebergantungan. 

Hakikatnya, tubuh manusia mampu menjana tenaga secara semula jadi tanpa perlu bergantung kepada kopi, asalkan gaya hidup dan rutin harian dijaga dengan betul.

Menurut pakar perubatan keluarga di Northwestern Medicine Lake Forest Hospital, Anna B. Shannahan, terdapat tujuh cara mudah, sihat dan praktikal boleh diamalkan untuk kekal bertenaga sepanjang hari walaupun tanpa kafein. 

Kopi biasanya menjadi pilihan ramai untuk diminum pada waktu pagi. -Gambar hiasan

1. Mulakan hari dengan snek sihat

Pilih makanan rendah gula dan tinggi serat seperti yogurt Greek tanpa gula, epal bersama mentega kacang atau sayur hijau bagi mengelakkan tenaga 'jatuh' secara mendadak.

2. Makan secara teratur  

Melangkau waktu makan boleh membuatkan badan cepat letih. 

Makan dalam kuantiti sederhana tetapi konsisten membantu kekalkan paras gula darah stabil. 

3. Lakukan aktiviti fizikal ringan

Senaman ringkas seperti berjalan kaki sudah cukup untuk merangsang hormon yang membuatkan badan lebih segar dan fokus.

4. Cuba teknik pernafasan rangsangan

Tarik dan hembus nafas pendek dan pantas melalui hidung selama beberapa saat untuk membantu badan lebih peka dan berjaga.

5. Minum air secukupnya

Keletihan sering berpunca daripada dehidrasi, jadi pastikan minum air sepanjang hari bagi mengelakkan badan lesu.

6. Ambil tidur sekejap (power nap)

Tidur sekitar 20 minit sudah memadai untuk pulihkan tenaga tanpa mengganggu tidur malam.

7. Luangkan masa dengan alam semula jadi

Berada di luar rumah walaupun seketika boleh bantu kurangkan stres dan buat badan rasa lebih bertenaga.

Artikel Lain