MEMANDU di lebuh raya dengan kelajuan melebihi 110 hingga 120 kilometer sejam sudah menjadi kebiasaan ramai pengguna jalan raya.
Namun, dalam sekelip mata keadaan boleh bertukar menjadi mimpi ngeri sekiranya tayar kenderaan tiba-tiba pancit atau pecah.
Keadaan ini bukan sahaja menguji tahap kemahiran pemandu, malah ketenangannya juga dikatakan mampu membantu menentukan keselamatan diri sendiri dan penumpang.
Perkongsian pemilik bengkel Zam Auto Accessories's di Facebook mengenai tayar pancit amat bermanfaat dan boleh dijadikan panduan.
1. Pancit di lebuh raya jauh lebih berisiko
Tayar pancit pada kelajuan tinggi boleh menyebabkan kenderaan hilang kestabilan dalam tempoh beberapa saat.
Berbeza di jalan biasa, pemandu di lebuh raya mempunyai banyak ruang untuk membuat kesilapan.
2. Tayar depan pancit, stereng akan 'menarik' sendiri
Antara petunjuk paling ketara ialah stereng terasa 'ditarik' ke satu arah.
Ini berlaku disebabkan tekanan angin yang hilang secara mendadak pada satu bahagian tayar.
3. Jangan sesekali 'lawan' stereng secara agresif
Ramai pemandu panik lalu memulas stereng secara mengejut.
Hakikatnya, tindakan ini boleh menyebabkan kenderaan berpusing dan terbabas.

Cari kawasan selamat untuk memberhentikan kereta apabila tayar pancit. -Gambar hiasan AI
4. Pegang stereng dengan kuat dan kawal pergerakan perlahan
Apa yang perlu dilakukan ialah menggenggam stereng dengan kemas dan memastikan pergerakan kekal minimum bagi mengekalkan arah lurus sejauh mungkin.
5. Tekan brek secara mengejut sangat berbahaya
Brek secara tiba-tiba ketika tayar sudah rosak boleh menyebabkan kenderaan berpusing kerana kehilangan daya cengkaman.
6. Biarkan kereta memperlahankan kelajuan dengan sendiri
Untuk kenderaan jenis transmisi automatik, lepaskan pedal minyak.
Bagi kereta jenis transmisi manual, turunkan gear satu demi satu secara berperingkat.
7. Jika tayar belakang pancit, kenderaan akan terasa bergoyang
Keadaan ini membuatkan bahagian belakang kereta terasa tidak stabil seolah-olah ditolak angin kuat walaupun stereng masih dalam keadaan boleh dikawal.
8. Bunyi letupan kuat biasanya menjadi petanda awal
Pancit pada kelajuan tinggi biasanya didahului dengan bunyi 'pop' atau 'boom' yang kuat serta gegaran dari bawah kenderaan.
9. Masuk ke lorong kecemasan hanya selepas kelajuan benar-benar rendah
Jangan tergesa-gesa membelok ke tepi jalan. Tunggu sehingga kelajuan stabil dan terkawal sebelum memberi isyarat masuk ke lorong kecemasan.
10. Jangan ambil mudah keselamatan selepas berhenti
Hidupkan lampu kecemasan, pasang segi tiga amaran pada jarak yang sesuai dan pastikan keadaan sekitar benar-benar selamat sebelum membuka pintu kenderaan.


