SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA 2025) yang bakal diperkenalkan akan mempertingkatkan usaha memastikan keselamatan kanak-kanak di ruang digital.
Dalam satu kenyataan, MCMC memaklumkan bahawa pihaknya kini memberi tumpuan kepada pembangunan instrumen subsidiari bagi mengukuhkan komitmen penyedia perkhidmatan berlesen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, selaras dengan pelaksanaan ONSA 2025.
Pendekatan ini meletakkan perlindungan kanak-kanak sebagai keutamaan utama, termasuk pengurusan risiko platform dan langkah pencegahan terhadap kandungan yang memudaratkan.
"ONSA 2025 memperkenalkan rangka kerja pengawalseliaan yang lebih proaktif dengan menetapkan tanggungjawab jelas kepada platform media sosial.
"Ia bertujuan untuk mengurus kandungan berisiko tinggi seperti bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM), pornografi, lucah serta kandungan berkaitan mencederakan diri," kata MCMC dalam kenyataan yang dikeluarkan Rabu lalu.
MCMC turut menjawab kritikan daripada Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat yang menyifatkan sumber kewangan serta keupayaan agensi itu memantau bahaya dalam talian terhadap kanak-kanak sebagai 'terlalu rendah'.
Dalam taklimat di Dewan Rakyat pada Selasa, pengerusi jawatankuasa tersebut, Yeo Bee Yin berkata MCMC masih menggunakan kaedah manual seperti carian kata kunci bagi tujuan pemantauan dalam talian.
MCMC menjelaskan bahawa pihaknya menjalankan usaha berterusan untuk mengesan dan memohon pemadaman kandungan daripada penyedia platform media sosial.
Dari 1 Januari hingga 30 November tahun ini, MCMC mengesan 957 kandungan jelik melibatkan kanak-kanak.
Berhubung pemadaman kandungan, MCMC berkata sebanyak 899 kandungan berjaya diturunkan oleh platform media sosial mencatatkan kadar pematuhan 94 peratus, dengan platform paling responsif ialah Tumblr, TikTok dan Facebook..
Badan pengawal selia itu juga melaksanakan tindakan penguatkuasaan agresif melalui operasi bersama Polis Diraja Malaysia.
Ops Pedo tahun lalu menyaksikan penangkapan 13 individu dengan lebih 40,000 bahan melibatkan CSAM dirampas.
Operasi kedua, Ops Pedo 2 pada September tahun ini pula membawa kepada penahanan 31 suspek dengan lebih 880,000 kandungan dirampas.
MCMC menambah bahawa persiapan bagi pelaksanaan ONSA 2025 serta penguatkuasaan had umur minimum 16 tahun untuk pendaftaran akaun media sosial bermula 2026 juga sedang dijalankan.
Dalam kenyataan pada 25 November, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman berkata MCMC akan menjadi pengawal selia utama dan tunggal bagi ONSA 2025.
Beliau sebelum ini menyatakan bahawa ONSA 2025 dijangka berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.


