suria

Minum setiap hari, rajin lepak kafe hipster... Ramai mengaku 'coffee lover', hakikatnya bukan nikmati kopi asli

Ramai individu tak sedar kopi yang diminum mempunyai kadar gula yang tinggi. -Gambar hiasan AI

TREND kafe hipster yang menawarkan aneka minuman berasaskan kopi semakin mendapat tempat dalam masyarakat terutama golongan muda.

Tabiat ini akhirnya mencetuskan satu fenomena baharu apabila ramai yang menggelarkan diri mereka sebagai coffee lover (pencinta kopi), sedangkan kandungan dalam cawan atau gelas itu lebih kepada minuman bergula.

Menurut perkongsian Public Health Malaysia (PHM), kecenderungan individu memesan minuman seperti Spanish Latte, Caramel Macchiato, Matcha Latte, Brown Sugar Latte atau Hazelnut Latte menunjukkan bahawa minuman itu bukanlah kopi asli.

Sebaliknya, air yang dicampurkan dengan kandungan gula tinggi itu lebih kepada minuman manis berperisa kopi. 

Kajian PHM turut mendedahkan bahawa ada antara minuman ini mengandungi lima hingga lapan sudu gula dalam satu sajian yang mana jumlah tersebut lebih tinggi daripada kebanyakan air kotak atau air tin.

Pengambilan gula berlebihan secara konsisten boleh memberikan kesan kumulatif terhadap tubuh. 

Antara kesannya termasuklah peningkatan paras gula darah, kerosakan saraf, luka yang lambat sembuh dan penyempitan aliran darah. 

Kesannya mungkin tidak ketara pada peringkat awal, namun risiko meningkat apabila pengambilan berlaku hampir setiap hari.

Melihat kepada gelombang populariti minuman coffee-based yang hakikatnya sarat gula, timbul cadangan PHM agar minuman sebegini turut diberikan label amaran bergambar.

Sebagai contoh, gambar amaran kesihatan yang tertera pada kotak rokok sebagai langkah mendidik pengguna mengenai risiko yang mungkin mereka tidak sedari.

 

Artikel Lain

Bung Moktar meninggal dunia