SENTUHAN fizikal dalam hubungan rumah tangga dikaitkan dengan kesan terhadap kestabilan emosi dan pengurangan rasa cemas atau anxiety terutamanya dalam kalangan wanita.
Seorang lelaki yang juga ahli farmasi dikenali sebagai Syah, berkongsi pandangannya mengenai topik tersebut menerusi satu video di TikTok [Tonton video].
Menurut Syah, tindakan isteri merehatkan kepala di dada suami dikatakan boleh menjadi salah satu bentuk terapi anxiety yang berasaskan sentuhan dan rangsangan deria.
Jelas Syah, bunyi degupan jantung suami berupaya memberikan rasa selamat kepada otak isteri, seterusnya menstabilkan emosi dan membantu tubuh berada dalam keadaan relaks.
Sementara itu, laporan The Guardian yang memetik kata-kata penyelidik dari University Hospital Essen, Dr Helena Hartmann menyatakan bahawa pendedahan kepada sentuhan secara konsisten sepanjang hari berpotensi mengurangkan masalah berkaitan kesihatan mental dan fizikal.
Hasil penemuan kajian tersebut turut merumuskan bahawa sentuhan memberi manfaat yang seimbang kepada kesihatan mental dan fizikal, melibatkan golongan dewasa serta bayi.
Namun, sentuhan manusia memberi kesan lebih besar berbanding bersentuhan daripada objek kerana wujudnya interaksi kulit ke kulit yang mencetuskan respons hormon dan emosi positif.


