KERETA yang ditenggelami banjir boleh mengalami kerosakan serius jika tersilap langkah dalam mengendalikannya.
Contohnya, ada pemilik kenderaan yang panik dan terus menghidupkan enjin, sedangkan tindakan itu boleh memburukkan keadaan.
Bagi mengelakkan pemilik kereta menanggung kos baik pulih yang tinggi, berikut dikongsikan beberapa langkah yang wajar dilakukan:
1. Jangan hidupkan enjin
Ramai ingat boleh test hidupkan enjin lepas banjir, tapi sebenarnya itu langkah paling bahaya. Air tidak boleh dimampatkan dan bila enjin cuba berpusing, tekanan tinggi boleh menyebabkan kerosakan besar seperti piston rod bengkok.
Menurut TikTok Altimat Auto Garage, cara paling selamat adalah dengan menghantar kereta ke bengkel untuk pemeriksaan dengan menggunakan perkhidmatan towing.

Banyak kereta mengalami kerosakan disebabkan banjir. -Gambar hiasan
2. Periksa gearbox
Kedudukan gearbox yang rendah berhampiran tayar membuatkannya mudah dimasuki air semasa banjir. Jika dibiarkan, komponen dalaman boleh rosak. Jadi pastikan kereta dibawa kepada pakar gearbox untuk pemeriksaan menyeluruh.
3. Periksa 'wiring' kereta
Apabila kereta tenggelam, sistem pendawaian turut sama terendam. Ini boleh menyebabkan short yang mungkin nampak kecil seperti lampu terbakar, tetapi juga berpotensi merosakkan komponen besar seperti Engine Control Unit (ECU). Pemeriksaan awal boleh elakkan kos tinggi.
4. Cabut bateri jika sempat
Jika air banjir mula naik dan anda masih sempat bertindak, cabut bateri kereta. Langkah ini boleh menyelamatkan komponen elektronik daripada rosak. Jika bateri tidak dicabut, sensor dan bahagian elektronik lain berisiko tinggi untuk terbakar atau gagal berfungsi.
5. Elak baiki sendiri
Walaupun anggap sebagai kerosakan kecil, jangan sesekali cuba baiki sendiri. Sistem enjin, gearbox dan elektronik memerlukan kepakaran. Hantar terus ke bengkel supaya mekanik boleh lakukan pemeriksaan profesional dan elakkan kerosakan lebih teruk.


