suria

Awas panggilan senyap... MCMC dedah modus operandi scammer guna AI, waspada jangan termasuk ‘perangkap’

Orang ramai dinasihatkan berwaspada terhadap panggilan tidak dikenali yang senyap kerana ia berpotensi menjadi taktik penipuan menggunakan AI. -Gambar hiasan

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menasihatkan orang ramai supaya berwaspada apabila menerima panggilan tidak dikenali yang senyap, bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Nasihat itu dikeluarkan susulan satu video amaran yang dimuat naik oleh Friends of SKMM baru-baru ini, yang mendedahkan taktik terbaharu digunakan scammer untuk mendapatkan suara dan maklumat mangsa melalui panggilan senyap.

Beberapa rakyat Malaysia tampil berkongsi pengalaman masing-masing selepas menyedari modus operandi tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Golongan muda dilindungi... Kerajaan bakal sekat individu umur bawah 16 tahun dari media sosial - Fahmi Fadzil

Seorang penganalisis data dari Kuala Lumpur, Sean Ang, 34, berkata dia menerima beberapa panggilan daripada nombor tidak dikenali namun tiada suara di hujung talian.

"Panggilan masuk, tapi tak ada sesiapa bercakap. Nasib baik saya pernah baca tentang taktik penipu guna AI di Thailand. Sekarang kalau dapat panggilan macam itu, saya diam saja… kalau masih senyap, saya terus tutup," katanya.

Seorang lagi individu, Francis Magawun, 43, yang berasal dari Sabah dan bekerja di Petaling Jaya, turut mendedahkan menerima panggilan senyap daripada nombor tempatan dan antarabangsa.

"Saya memang berhati-hati dari dulu lagi. Bila dapat panggilan pelik, saya akan diam sekejap untuk lihat ada respons atau tidak sebelum memutuskan talian," jelasnya.

Pelbagai taktik digunakan scammer untuk memperdaya mangsa hingga sanggup menyerahkan maklumat perbankan atau memindahkan wang. -Gambar hiasan

Francis bimbang golongan warga emas menjadi mangsa kerana tidak sedar kewujudan ancaman penipuan yang kini semakin canggih dengan penggunaan AI.

Panggilan senyap adalah kaedah terkini scammer untuk mengesan nombor aktif.

Apabila seseorang menjawab panggilan, nombor itu akan dimasukkan ke dalam senarai sasaran untuk menerima panggilan atau mesej penyamaran, biasanya melibatkan bank atau agensi kerajaan palsu.

Apa yang lebih membahayakan, suara mangsa boleh dirakam dan diklon menggunakan AI, kemudian digunakan untuk menyamar bagi tujuan penipuan, seperti meminta wang daripada ahli keluarga atau memintas sistem keselamatan yang menggunakan pengesahan suara.

  • SKMM menasihatkan orang ramai berwaspada terhadap panggilan tidak dikenali yang senyap kerana ia berpotensi menjadi taktik penipuan menggunakan AI.

  • Panggilan senyap digunakan scammer untuk mengesan nombor aktif sebelum meneruskan panggilan atau mesej penyamaran.

  • Scammer boleh merakam dan mengklon suara menggunakan AI, kemudian menyamar untuk tujuan penipuan seperti meminta wang atau memintas sistem keselamatan suara.

  • SKMM menerbitkan video kesedaran mengenai bagaimana teknologi AI mengumpul metadata suara bagi tujuan penipuan.

  • Orang ramai digesa tidak berinteraksi dengan panggilan mencurigakan dan membuat laporan jika mengesyaki cubaan penipuan.

SKMM sebelum ini turut menyiarkan video berdurasi dua minit bagi memberi kesedaran tentang bagaimana teknologi AI digunakan untuk mengumpul metadata suara manusia.

Seorang pengguna media sosial, Mohamed Hussain Rasool Mohd, berkata dia semakin berwaspada selepas membaca amaran di laman Komuniti Pulau Pinang mengenai taktik penipuan tersebut.

Manakala dalam satu lagi perkongsian, pengguna bernama Kaizen Sun mendedahkan individu yang menerima panggilan senyap biasanya akan dihujani panggilan susulan untuk beberapa hari.

"Macam-macam nombor masuk, tempatan, antarabangsa, nombor bimbit. Ada juga WhatsApp dari ‘kenalan lama’ yang tiba-tiba muncul, kononnya dari industri arak… padahal saya tak pernah terlibat pun," tulisnya.

SKMM menggesa orang ramai supaya sentiasa berhati-hati, tidak berinteraksi ketika menerima panggilan mencurigakan, dan membuat laporan jika disyaki menjadi sasaran penipuan.

Artikel Lain