suria

Golongan muda dilindungi... Kerajaan bakal sekat individu umur bawah 16 tahun dari media sosial - Fahmi Fadzil

Fahmi Fadzil menegaskan kerajaan menetapkan peraturan ketat platform media sosial bagi melindungi pengguna muda.

KERAJAAN dalam proses untuk menyekat kanak-kanak berusia bawah 16 tahun daripada mengakses platform media sosial serta mengetatkan kawal selia kandungan untuk remaja bawah 18 tahun.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini sedang membangunkan 10 perundangan subsidiari di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) dengan tumpuan khusus untuk melindungi kanak-kanak dalam talian dan memastikan kandungan yang disampaikan sesuai mengikut umur pengguna muda.

"Di bawah perundangan subsidiari ini, pemberi perkhidmatan bertanggungjawab memastikan platform mereka tidak boleh diakses pengguna bawah 16 tahun.

"Manakala kandungan untuk pengguna bawah 18 tahun hendaklah bersesuaian dengan umur mereka,” katanya melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat menjawab soalan Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong.

Tambah Fahmi, pemberi perkhidmatan juga perlu menyediakan pilihan tetapan dan kawalan ibu bapa atau 'parental control' selaras dengan garis panduan komuniti atau terma penggunaan platform masing-masing. 

Bagi memastikan tanggungjawab dijalankan, mereka mesti menyediakan pelan keselamatan dalam talian yang memperincikan pematuhan terhadap kewajipan yang perlu dipatuhi di bawah akta tersebut.

Beliau berkata kerajaan mengambil pendekatan menyeluruh dalam mengawal selia kandungan dalam talian yang memudaratkan serta melindungi golongan rentan, khususnya kanak-kanak dan remaja.

Ini termasuk menguatkuasakan keperluan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial untuk memohon dan mendapatkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

"Langkah ini bertujuan memastikan setiap penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang memenuhi keperluan pelesenan, bertanggungjawab dari segi kawal selia kandungan serta pengurusan algoritma," katanya.

MCMC turut mengeluarkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) yang menetapkan tanggungjawab Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet dan Penyedia Perkhidmatan Media Sosial seperti melaksanakan ciri pengesahan umur, menawarkan tetapan kawalan ibu bapa yang berkesan serta memperkukuh alatan keselamatan untuk pengguna muda.

Fahmi menjelaskan bahawa Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) digubal bagi mengawal selia kandungan berbahaya dan memperincikan tanggungjawab penyedia perkhidmatan aplikasi, kandungan dan rangkaian berlesen.

Akta tersebut, yang diwartakan pada 22 Mei, dijangka berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.

Beliau menjawab soalan Pang mengenai sama ada kerajaan berhasrat memperkenalkan undang-undang bagi menyekat atau menghalang golongan bawah 16 tahun daripada menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok.

Menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Fahmi berkata penyedia platform turut diwajibkan dengan mengemukakan pelan keselamatan dalam talian yang memperincikan pematuhan mereka terhadap obligasi di bawah akta berkenaan.

"MCMC juga sedang meneliti kaedah praktikal untuk mengesahkan umur dan identiti pengguna di platform atas talian," katanya.

Mengakui bahawa keselamatan dalam talian bukan hanya tanggungjawab kerajaan, Fahmi berkata MCMC melancarkan Kempen Internet Selamat (KIS) pada Januari bagi meningkatkan kesedaran awam tentang keselamatan dalam talian, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan keluarga.

Kempen itu merangkumi isu seperti had umur penggunaan media sosial, buli siber, penyalahgunaan maklumat peribadi serta penyebaran kandungan palsu.

Fahmi berkata inisiatif itu bertujuan mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat dan mengelakkan kanak-kanak daripada menjadi mangsa jenayah dalam talian.

Artikel Berikut

Bung Moktar meninggal dunia

Artikel Lain