suria

[V] Aksi berani Myvi himpit MPV polis terjawab... Pelajar IPT, calon SPM tak sempat seks dalam kereta

Kereta Myvi dipandu secara melulu sebelum pemandunya ditahan polis.

PASANGAN kekasih yang ditahan polis di Kampung Rabbana di Jeli, Kelantan pada Isnin dipercayai tidak sempat melakukan hubungan seks di dalam kereta.

Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, siasatan awal mendapati suspek iaitu pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) berusia lingkungan 20-an mengambil kekasihnya yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di hadapan sekolah untuk pergi ke Lata Renyut.

Katanya, lelaki itu bagaimanapun memberhentikan kereta dipandunya di tepi jalan Kampung Sungai Rual untuk melakukan hubungan seks dengan remaja itu di dalam kereta.

“Remaja perempuan itu dipercayai dengan rela hati untuk melakukan perhubungan itu, namun terkejut dengan kehadiran pihak polis yang sedang melakukan rondaan.

“Justeru, polis mengingatkan orang awam agar mengelakkan sebarang perlakuan seksual di dalam kenderaan sama ada di kawasan awam atau tempat sunyi kerana ia boleh menimbulkan risiko jenayah dan implikasi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kamarulzaman memberitahu, lelaki itu akan ditahan semula dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksyal Terhadap Kanak-Kanak 2017. 

Terdahulu tular video [Tonton Video] aksi polis mengejar kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki pasangan kekasih itu pada Isnin.

Video itu memaparkan pemandunya bertindak menghimpit Unit Kereta Peronda (MPV) dan memandu secara melulu sebelum polis berjaya memintas Perodua Myvi tersebut.

Pemandu terbabit kemudian melarikan diri dan enggan memberi kerjasama sehingga berlaku pergelutan sebelum berjaya ditahan.

Artikel Lain