suria

[V] Aliran trafik KL langsung tak bergerak akibat hujan lebat, banjir kilat

HUJAN lebat pada petang Khamis menyebabkan kesesakan luar biasa di Kuala Lumpur, khususnya di sekitar kawasan KLCC apabila beberapa laluan utama dilaporkan langsung tidak bergerak sejak pukul 5 petang.

Di Jalan Ampang, aliran kenderaan dari Bukit Nanas menuju Ampang tergendala sepenuhnya bermula pukul 6 petang, dengan deretan kereta tidak bergerak dalam tempoh yang lama.

Keadaan lebih teruk apabila jumlah kenderaan dari arah Jalan P. Ramlee dan Jalan Yap Kwan Seng bertambah, sekali gus persimpangan utama ibu negara menjadi semakin sesak ketika waktu puncak.

Pemandu yang cuba keluar dari bangunan komersial dan parkir berbayar sekitar KLCC turut terperangkap dalam kesesakan, selepas laluan keluar dipenuhi kenderaan.

Beberapa video [Tonton Video] dan gambar tular di media sosial memaparkan kenderaan di hadapan KLCC berdekatan Wisma Getah tidak bergerak selama hampir 30 minit, mencerminkan keadaan trafik yang hampir lumpuh.

Malah terdapat rakaman video memaparkan beberapa jalan dinaiki air akibat limpahan sungai di beberapa kawasan di ibu negara.

Situasi sama turut dilaporkan di Jalan Tun Razak, dengan aliran trafik dari arah Sungai Besi dan Jalan Pahang mengalami kelewatan ketara.

Aliran trafik di Lebuhraya Bertingkat Ampang–Kuala Lumpur (AKLEH) juga terjejas, namun kenderaan masih dapat bergerak perlahan sedikit demi sedikit.

Kesesakan dipercayai berpunca daripada hujan lebat yang turun ketika waktu puncak pulang kerja, menyebabkan laluan utama tidak mampu menampung peningkatan jumlah kenderaan.

 

Artikel Lain