suria

JPN Kedah ambil tindakan terhadap 2 guru didakwa terlibat salah laku seksual

Guru sewajarnya menunjukkan tauladan yang baik kepada pelajar. -Gambar hiasan

JABATAN Pendidikan Negeri (JPN) Kedah sudah mengambil tindakan mengeluarkan dua guru dari institusi Kementerian Pendidikan (KPM) kerana didakwa terlibat dalam salah laku seksual.

Menerusi kenyataan pada Khamis, JPN Kedah berkata pihaknya mengambil serius dakwaan salah laku seksual membabitkan dua guru tersebut seperti yang tular di media sosial.

"Tindakan telah diambil oleh JPN untuk mengeluarkan guru terlibat daripada institusi pendidikan KPM sehingga siasatan selesai.

"Dua kes berasingan itu dalam siasatan JPN Kedah yang tidak berkompromi dengan sebarang perlakuan membabitkan salah laku seksual dan akan terus memastikan keselamatan serta kesejahteraan murid, guru serta seluruh warga institusi pendidikan diberi perhatian," menurut kenyataan tersebut.

Terdahulu, bekas guru yang tidak asing lagi di media sosial, Mohd Fadli Salleh, mendedahkan perbualan antara dua individu didakwa melibatkan seorang guru lelaki dan pelajar perempuan berusia 15 tahun dari sebuah sekolah di negeri berkenaan.

Mohd Fadli dalam masa yang sama melahirkan kebimbangan kerana guru terbabit didakwa cuba melakukan 'grooming' terhadap pelajarnya.

Sementara itu satu lagi kes melibatkan seorang guru yang didakwa mengeluarkan kata-kata lucah semasa mengajar di dalam kelas.  

 

Artikel Lain