PEMASANGAN lampu solar di Kampung Pangkalan Abai, Kota Belud, Sabah mengubah perkampungan nelayan itu menjadi sebuah kawasan yang lebih terang, selamat dan kembali meriah dengan aktiviti kemasyarakatan.
Transformasi ini tidak sekadar menyaksikan jalan serta lorong kampung menjadi terang, malah turut membuatkan penduduk terutama golongan belia yang pulang kerja lewat serta mereka yang sering ke masjid teruja.
Ketua Kampung Pangkalan Abai, Saipudin Amin berkata kemudahan di bawah Program Kampung Angkat Madani (KAM) itu memudahkan kira-kira 800 penduduk melaksanakan pelbagai aktiviti komuniti, termasuklah rondaan malam oleh anggota Sistem Rondaan Sukarela (SRS).
Menurutnya, projek yang dilaksanakan merangkumi pemasangan lampu solar, pembinaan pondok SRS dan bilik pengurusan jenazah.
Turut termasuk dalam projek ini adalah kerja menaik taraf sistem perparitan di sekitar masjid dan sekolah, membaik pulih rumah daif serta penyediaan sebuah van jenazah.
"Dengan adanya lampu solar, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan sukarelawan SRS kini boleh melakukan rondaan malam dengan lebih berkesan, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan serta kecurian," katanya.
Saipudin turut memaklumkan dengan adanya van jenazah tersebut, ia memberi manfaat besar bukan sahaja kepada penduduk di kampung itu tetapi juga kepada masyarakat di kampung-kampung sekitar yang memerlukan perkhidmatan berkenaan.
"Memang banyak perubahan sejak kampung ini dijadika sebagai Kampung Angkat Madani, terutama dari segi kelancaran pelaksanaan projek yang lebih pantas berbanding projek lain," katanya.
Beliau menambah, penduduk amat menghargai inisiatif di bawah program KAM kerana ia meningkatkan keselamatan serta menyumbang kepada kesejahteraan dan kualiti hidup komuniti setempat.
Ibu tunggal, Siti Azirah Jilan, 36, berkata penduduk kini lebih yakin dan selesa bergerak pada waktu malam.
Anggota Rela itu berkata pemasangan lampu solar di sepanjang jalan utama kampung turut memberikan keyakinan untuk dirinya menjalankan tugas rondaan malam bersama anggota Rela lain.
"Melalui program ini, rumah saya juga dibaik pulih. Ini rumah pusaka. Bumbung pun sudah uzur dan bilik tidur anak-anak selalu basah setiap kali hujan.
"Bantuan ini sangat bermakna kerana kami tidak berkemampuan untuk membaikinya sendiri," katanya.
Bagi pesara Jahim Bunul @ Mohd Nordin, 65, urusan pengebumian jenazah kini lebih mudah dengan adanya van baharu dan bilik khas di kawasan Masjid Darul Naim.
Sementara itu, anggota SRS, Sekin Onong, 41, berkata menerusi inisiatif KAM juga, pondok SRS yang sebelum ini usang kini dinaik taraf menjadi lebih selesa dan dilengkapi penyaman udara, memudahkan tugasan mereka pada waktu malam.
Katanya, seramai 25 anggota SRS bertugas secara bergilir-gilir membantu anggota Rela melakukan rondaan malam.
"Dengan adanya pondok SRS di pintu masuk kampung dan rondaan lebih kerap, tahap keselamatan kampung jauh lebih baik. Sejak Julai lalu, tiada kes pecah rumah atau kecurian dilaporkan," ujarnya.
Keseluruhan projek pembangunan ini dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri dengan peruntukan berjumlah RM1 juta.


