suria

[V] Kasih sepanjang masa... Bapa naik bas dari Terengganu ke KL untuk pasang 'aircond' di rumah anak gadis

Che Azman sanggup menaiki bas semata-mata untuk memasang penyaman udara di rumah anaknya.

UNGKAPAN 'kasih bapa sepanjang masa' amat sesuai untuk lelaki ini yang sanggup menaiki bas dari Terengganu ke Kuala Lumpur semata-mata untuk memasang penyaman udara (aircond) untuk keselesaan anak perempuannya.

Menerusi perkongsian video di TikTok [Tonton Video], Nur Athirah Che Azman meluahkan rasa terharu atas pengorbanan bapanya, Che Azman Mustafa yang digambarkan sanggup melakukan apa sahaja demi anak-anak.

"Semakin matang, semakin kita sedar bahawa ayah adalah satu-satunya lelaki yang akan menyayangi kita lebih daripada apa pun, yang sanggup berkorban apa sahaja demi anaknya.

"Abah yang tidak pandai berkata-kata, namun mengorbankan segalanya untuk anak-anak… yang diam-diam semakin menua. Dialah yang mengajar saya erti sebenar sebuah pengorbanan," katanya.

Che Azman digambarkan oleh anaknya sebagai lelaki yang sanggup membuat apa sahaja demi keluarga.Che Azman digambarkan oleh anaknya sebagai lelaki yang sanggup melakukan apa sahaja demi keluarga.

Berdasarkan video berdurasi 29 saat itu, dapat dilihat bapa Nur Athirah sedang memasang penyaman udara di rumah sewanya yang terletak di Pandan, Kuala Lumpur.

Selepas tugasnya selesai, Che Azman yang sudah lama bersara daripada kerja-kerja memasang 'aircond' menaiki bas semula untuk pulang ke kampung halaman.

"Sejak kecil, dialah hero saya. Orang yang akan membantu saya apa sahaja cara yang dia mampu.

"Saya memang sensitif apabila ada orang merendah-rendahkan dirinya, sebab mereka tidak tahu betapa besar pengorbanannya," katanya.

Perkongsian Nur Athirah itu mengundang rasa sayu dan ada netizen meluahkan rasa rindu terhadap ibu bapa masing-masing sambil beranggapan dia beruntung kerana masih merasai kasih seorang bapa.

"Dapat merasa kasih sayang ayah tu adalah rezeki yang tak boleh disia-siakan.

"Hargai ayah awak dik. Ayahlah lelaki yang betul-betul sayang kita apa saja dia buat untuk kita.

"Ayah meninggal waktu saya 19 tahun dan sampai hari ni sedih sebab tak dapat tengok bagaimana dia bila jadi bapa mentua dan atuk," antara komen netizen.

Artikel Lain