suria

Kematian Syamsul Haris kini disiasat sebagai kes bunuh

Syamsul Haris dilaporkan meninggal dunia ketika mengikuti latihan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pulada) di Ulu Tiram pada 28 Julai lalu.

JABATAN Peguam Negara (AGC) mengarahkan agar kematian kadet Unit Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia, Syamsul Haris Shamsudin disiasat sebagai kes bunuh.

Justeru kes berkenaan kini diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, arahan berkenaan diterima selepas polis membentangkan taklimat hasil siasatan kes berkenaan kepada AGC.

ARTIKEL BERKAITAN: Bedah siasat kedua Syamsul Haris ambil masa 7 jam, kesan kecederaan mencurigakan ditemui

Dalam kenyataan pada Selasa, Kumar berkata siasatan masih diteruskan untuk mengenalpasti individu-individu yang terlibat atau bertanggungjawab ke atas kematian tersebut, sebelum merujuk semula kertas siasatan kepada AGC selaras dengan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut meminta agar orang ramai tidak membuat spekulasi demi menghormati prinsip keadilan jenayah.

Untuk rekod, Syamsul Haris, 22, dilaporkan meninggal dunia ketika mengikuti latihan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pulada) di Ulu Tiram pada 28 Julai lalu.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih.

Pada 26 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kubur Allahyaham digali semula, bertujuan membolehkan bedah siasat kedua dijalankan ke atas jasad arwah.

Bedah siasat kedua terhadap jasad arwah pada 30 Ogos lalu mendedahkan terdapat kecederaan traumatik mencurigakan yang memerlukan siasatan lanjut berhubung kematiannya.

Artikel Lain