suria

Sewa Nissan GT-R, pasangan terkandas di MRR2... Kereta disita sebab tiada cukai jalan

Pemandu disaman meskipun kenderaan dipandu adalah kereta sewa. -Foto JPJWPKL

SEORANG lelaki berputih mata apabila kereta Nissan GT-R yang dipandunya, disita Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL).

Ketika kejadian, dia dan pasangan melalui susur keluar ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dari Tol Gombak ke Batu Caves.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan, kenderaan tersebut tidak mempunyai perlindungan insurans selain lesen kenderaan motor (LKM) telah tamat tempoh pada 4 November lalu.

"Kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Kenderaan dipandu rakyat Malaysia itu adalah kereta sewa," ujar kenyataan itu.

Susulan kesalahan tersebut, kenderaan berkenaan disita untuk tindakan lanjut.

"JPJ WPKL sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua aduan serta memastikan kenderaan sentiasa mematuhi peraturan mahupun undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan.

"Sebarang aduan kesalahan lalu lintas, orang awam boleh menyalurkan kepada [email protected] atau platform aplikasi e-aduan beserta butiran pengadu dan butiran aduan," tambahnya.

Artikel Lain