suria

Nafas baharu industri kurier... Hentikan perang harga dan jamin kelestarian

Perkhidmatan kurier lori digunakan bagi penghantaran barangan bersaiz besar yang memerlukan kapasiti kenderaan lebih tinggi.

KEMENTERIAN Komunikasi berkata kerajaan sedang menilai penetapan harga lantai bagi perkhidmatan kurier.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menjalankan audit kos serta penilaian harga di seluruh industri.

Langkah ini dilihat sebagai usaha paling tegas dalam beberapa tahun kebelakangan bagi menangani ketidakseimbangan serius yang menjejaskan ekosistem logistik 'last-mile' iaitu penghantaran peringkat akhir sebelum barang sampai kepada pengguna.

Namun begitu, penerimaan di lapangan bukanlah penuh keterujaan. Jika ada sekalipun, sentimennya lebih sesuai digambarkan sebagai realisme yang berhati-hati.

Menurut seorang pemain industri berpengalaman, perbincangan mengenai harga lantai telah berlangsung terlalu lama hingga membuatkan dia tetap skeptikal selagi perkara itu belum benar-benar dilaksanakan.

"Memang ia baik untuk industri, tetapi pemain asing sudah mendominasi pasaran dengan harga yang terlalu rendah.

"Soalnya, bagaimana kerajaan mahu memastikan pasaran lebih adil kepada pemain tempatan yang telah lama terpinggir," katanya.

Keletihan itu mencerminkan persaingan sengit lebih sedekad lalu, yang didorong oleh kemasukan syarikat asing bermodal besar.

PUTRAJAYA, 17 Okt -- Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil ketika sidang media mingguan Kabinet di Menara Komunikasi hari ini.--fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

Fahmi Fadzil menegaskan kerajaan kini menilai semula struktur kos dan harga perkhidmatan kurier. -Foto Bernama

Transformasi bermula sekitar pertengahan 2010-an apabila syarikat logistik disokong pelabur modal teroka khususnya yang berkembang melalui infrastruktur e-dagang China yang memasuki pasaran Malaysia dengan strategi seragam.

Antara strateginya adalah skala operasi secara agresif, turunkan harga, kuasai pasaran dan membina kapasiti operasi pada kadar yang sukar ditandingi pemain tempatan.

J&T Express menjadi simbol kepada strategi ini.

Dalam tempoh singkat, syarikat itu membuka ratusan cawangan, melanjutkan waktu operasi jauh melebihi standard ketika itu dan menggerakkan ratusan lori bagi memastikan penghantaran berjalan 24 jam.

Struktur operasinya adalah dengan kerja sehingga lewat malam, peluasan pesat, garis masa pemenuhan pesanan yang dipercepat yang mana mendapat sambutan pengguna tetapi menimbulkan kebimbangan pesaing.

Ketua Pegawai Eksekutif GDEX Bhd, Teong Teck Lean menyatakan secara terbuka bahawa industri tidak mampu menampung kemasukan pemain baharu 'berpoket besar' yang menekan pemain sedia ada.

"Amalan perniagaan rosak dengan tekanan penurunan kadar harga. Ini tidak sihat untuk industri," katanya.

Menjelang akhir 2019, MCMC telah melesenkan lebih 100 syarikat penghantaran.

Persaingan terlalu sengit sehingga banyak syarikat utama mengalami penurunan hasil antara 40 peratus hingga 60 peratus sepanjang 2020, meskipun jumlah penghantaran melonjak ketika pandemik.

Industri berada dalam keadaan paradoks iaitu jumlah bungkusan tertinggi, tetapi kerugian turut berada pada paras tinggi.

Pos Malaysia Bhd yang pengendali pos nasional dan penyedia perkhidmatan sejagat turut mengalami tekanan paling ketara.

Syarikat itu mencatat kerugian berterusan selama beberapa suku, dibebani kos bebanan lama serta ketidakmampuan untuk menyaingi amalan harga yang ditawarkan pemain baharu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan kaji cadangan penetapan harga lantai perkhidmatan kurier - Fahmi Fadzil

Menjelang 2024, kerugian bersih Pos Malaysia terus melebar dan menimbulkan kebimbangan pelabur terhadap kemungkinan risiko berada di bawah status Practice Note 17.

Walaupun usaha pemotongan kos, pendigitalan dan penstrukturan semula dijalankan, kepimpinan Pos Malaysia tetap menegaskan isu utama iaitu struktur pasaran telah rosak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Charles Brewer, menyifatkan keadaan ini sebagai 'perlumbaan ke dasar' (race to the bottom), dengan menegaskan harga yang terlalu rendah melemahkan keupayaan industri untuk melabur dalam teknologi logistik generasi baharu, kenderaan elektrik dan tenaga kerja yang stabil.

"Industri dibelenggu amalan harga tidak mampan dan anti-persaingan. Apabila kita keluar daripada persaingan berasaskan harga semata-mata, barulah keseluruhan ekosistem boleh melabur dalam nilai tambah," katanya.

Kerjasama Pos Malaysia bersama MCMC dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) termasuk reformasi Akta Perkhidmatan Pos dan tindakan terhadap amalan anti-persaingan seperti masking (menyekat pilihan kurier) oleh platform e-dagang menjadi antara dorongan dasar paling signifikan dalam sejarah terkini industri.

Kerajaan juga dilihat semakin sehaluan dengan pandangan tersebut.

MCMC membekukan lesen kurier baharu sejak 2020, menandakan pasaran sudah terlalu sesak.

MyCC pula meningkatkan siasatan terhadap cara platform e-dagang mengalirkan jumlah penghantaran kepada pemain dalaman mereka sambil menenggelamkan pilihan alternatif.

Namun persoalan utama yang terus menjadi perhatian ialah sama ada harga lantai benar-benar mampu mengubah landskap industri secara bermakna.

Harga minimum boleh mengekang strategi predatory pricing atau penetapan harga pemangsa yang membolehkan pemain berasaskan modal asing menguasai 73.5 peratus pasaran, diterajui J&T Express dan Shopee Express.

Dengan menetapkan asas pendapatan minimum, ia boleh membantu industri kurier tempatan melabur semula dalam teknologi, infrastruktur penghantaran dan latihan tenaga kerja.

Dalam keadaan ideal, ia turut menstabilkan kualiti perkhidmatan tanpa memaksa operator mengurangkan standard.

Namun cabaran paling besar atau isu utama ialah bagaimana ia dilaksanakan.

Harga lantai perlu cukup tinggi untuk mengekang diskaun tidak mampan, tetapi tidak terlalu tinggi sehingga menaikkan kos sara hidup dan mencetuskan bantahan rakyat.

Perkhidmatan penghantaran barang oleh syarikat kurier semakin meluas seiring pertumbuhan e-dagang di negara ini. -Gambar hiasan

Pengguna hari ini sudah terbiasa dengan caj penghantaran RM4 hingga RM5, malah kadangkala percuma hasil subsidi platform.

Jika subsidi ini semakin sukar ditanggung akibat harga lantai, kos membeli-belah dalam talian mungkin meningkat dan memberi kesan kepada jutaan pengguna serta ribuan PKS.

Selain itu, persoalan lebih besar ialah sama ada harga lantai sahaja mampu menangani ketidakseimbangan struktur yang lebih mendalam.

Pemain berasaskan modal asing mempunyai rizab tunai besar, kelebihan teknologi dan integrasi langsung dengan platform e-dagang utama.

Walaupun harga naik, jurang daripada segi skala dan akses data tetap wujud.

Pemain kurier tempatan kecil dan sederhana mungkin terus sukar mendapatkan volume (jumlah pesanan dihantar) selagi amalan masking tidak ditangani dan prinsip neutraliti platform tidak dikuatkuasakan.

Walau bagaimanapun, industri kini berada paling hampir kepada pembaharuan besar.

Berbeza dengan perbincangan lampau yang sering terhenti pada peringkat saranan, momentum kali ini didorong oleh keperluan mendesak.

Kewangan Pos Malaysia yang rapuh, penumpuan pasaran terlalu tinggi dan kebergantungan ekonomi digital negara kepada rangka logistik yang stabil menjadikan kelewatan tindakan sebagai sesuatu yang tidak lagi boleh diterima.

Jika harga lantai akhirnya dikuatkuasakan, tindakan ini bukan penyelesaian keseluruhan namun boleh menjadi titik perubahan penting.

Bagi pemain tempatan yang lama terhimpit, ia memberi peluang untuk menyusun semula langkah.

Bagi pengguna, mungkin wujud perubahan daripada budaya 'semurah mungkin' kepada keutamaan kestabilan dan kebolehpercayaan.

Manakala bagi industri secara keseluruhan, ia mungkin langkah pertama meninggalkan ketidaktentuan dan bergerak ke arah inovasi serta daya tahan jangka panjang.

Melihat kepada pertaruhannya, ini mungkin peluang terbaik dalam tempoh bertahun-tahun bagi memecahkan kitaran kerosakan industri dan membina semula ekosistem penghantaran last-mile yang lebih seimbang dan mampan.

Artikel Lain