suria

Polis lemas dihanyutkan arus selepas beli cincin, hasrat bertunang tak kesampaian

Konstabel Muhammad Rahimi ditemukan lemas selepas keretanya tersangkut akibat paras banjir tinggi.

ANGGOTA polis yang ditemukan lemas di Kampung Giching, Sepang pada Jumaat berhasrat untuk meminang gadis pilihannya selepas Aidilfitri tahun hadapan.

Allahyarham Konstabel Muhammad Rahimi Amirudin, 23, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, dikatakan baru pulang dari membeli cincin sebagai persiapan terakhir majlis merisik dan pertunangannya sebelum kejadian.

Bapanya, Amirudin Mohd Hanifah memaklumkan arwah sempat menikmati makan malam bersama bakal tunangnya serta keluarga sebelum bersiap untuk bertugas pada pukul 11 malam.

Namun perjalanan ke tempat kerja terhalang berikutan laluan dinaiki air.

"Sebelum dihanyutkan arus, arwah sempat bertanya kepada penduduk sama ada jalan itu boleh dilalui atau tidak, namun dia tetap melaluinya walaupun telah dinasihatkan supaya tidak berbuat demikian.

"Ketika melalui lintasan air tersebut, kereta arwah dikatakan hanyut ke dalam tali air, menyebabkan dia terpaksa keluar dari kenderaan dan berenang ke tepi sebelum dihanyutkan arus deras," katanya.

Amirudin berkata demikian selepas selesai pengebumian arwah Muhammad Rahimi di Tanah Perkuburan Islam Taman Purnama, Simpang Renggam, Johor pada Ahad.

Terdahulu, media melaporkan mangsa cuba menyelamatkan diri dengan berenang setelah keluar dari keretanya yang tersangkut akibat paras banjir tinggi.

Arwah dilihat berpaut pada tiang papan tanda jalan dalam keadaan lengkap beruniform sebelum dihanyutkan arus deras kira-kira pukul 10.30 malam.

Jenazah Allahyarham ditemukan kira-kira 50 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang pada pukul 7.30 pagi.

Artikel Lain