suria

Lelaki dakwa eWallet disekat tanpa sebab, nasib wang '4 angka' dalam akaun kini samar... TnG jawab ada salah guna dokumen

Kauthar membuat laporan polis kerana tuduhan mendakwa dirinya memalsukan dokumen rasmi kerajaan. - Gambar hiasan AI kanan

SEORANG pengguna Touch n Go (TnG) eWallet mendakwa berdepan kesulitan mendapatkan kembali akses kepada akaun miliknya selepas disekat tanpa sebarang amaran atau penjelasan awal.

Menerusi perkongsian di Facebook, Kauthar Rozmal memaklumkan akaunnya digantung pada 11 November tanpa notifikasi, panggilan, mesej ringkas (SMS) atau emel daripada pihak penyedia perkhidmatan itu.

Pempengaruh kewangan itu memaklumkan, pada 13 November dia menghubungi TnG untuk mendapatkan penjelasan namun pihak khidmat pelanggan tidak dapat memberi sebab yang membawa kepada penggantungan tersebut. 

"Esoknya,TnG emel minta dokumen pengesahan. Saya balas dan mereka maklum akan selesai dalam tempoh lima hari. Saya tunggu seminggu. Satu jawapan pun tiada.

"24 November saya call TnG nak tanya status. Dia (operator) kata emel tu baru forward ke department yang sepatutnya. Masa ni saya dah bengang. Kau boleh biar seminggu je tak buat apa-apa.

"Bila saya tanya rekod transaksi, ada ke apa-apa yang mencurigakan. Dia kata tiada pun. Jadi apa masalah nak suspend akaun saya?" katanya, mendakwa nilai simpanan dalam akaun tersebut adalah 'empat angka'.

Selepas membuat beberapa panggilan susulan, Kauthar berkata pada Jumaat dia dimaklumkan tiket aduan telah ditutup walaupun akaunnya masih tidak dapat diakses. 

Sementara itu, TnG menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya mengesan satu percubaan daripada individu yang sama untuk membuka akaun TNG eWallet kedua menggunakan dokumen pengenalan yang telah diubah suai atau disunting. 

Katanya, tindakan sedemikian adalah suatu kesalahan di bawah undang-undang Malaysia serta melanggar terma dan syarat platform tersebut yang bertujuan melindungi semua pengguna serta memastikan keselamatan sistem.

"Kes yang melibatkan kemungkinan penyalahgunaan dokumen pengenalan atau percubaan membuka lebih daripada satu akaun perlu melalui proses semakan yang teliti. 

"Proses ini melibatkan beberapa peringkat penilaian dalaman dan luaran, dan mesti diselesaikan sebelum sebarang penjelasan rasmi dapat diberikan melalui saluran yang sewajarnya," katanya.

Kurang berpuas hati dengan kenyataan TnG, Kauthar membuat laporan polis pada Ahad kerana tuduhan mendakwa dirinya memalsukan dokumen rasmi kerajaan.

"Dia nak kata saya pula guna MyKad palsu untuk buat akaun kedua.

"Takkan saya bodoh sangat nak pakai MyKad palsu. Tentu la scammer yang cuba buat tu. Tapi saya pula yang dihukum," katanya.

Artikel Lain