SERAMAI 171 warga tempatan daripada 201 lelaki yang disyaki terbabit dalam aktiviti hubungan songsang di pusat kesihatan di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur dibebaskan pada Sabtu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata pembebasan itu dibuat selepas mahkamah menolak permohonan reman yang dikemukakan polis.
“Kita tidak boleh guna undang-undang yang ada sekarang sebab setiap kali (dakwaan) eksploitasi pelacuran ataupun aktiviti luar tabii… mesti ada mangsa.
“Tiada satu pun mereka ini mengaku jadi mangsa, jadi kes ini tidak dapat diteruskan. Kepada penganjur memang tidak ada kesalahan apa-apa setakat ini, " katanya.
Fadil berkata, 31 lelaki warga asing direman dua hari sehingga Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN: Spa luar tabii diserbu! Pakar bedah, timbalan pendakwa raya antara penjawat awam ditahan
mStar sebelum ini melaporkan timbalan pendakwa raya dan pakar bedah antara 17 penjawat awam yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan bersama di sebuah spa di Jalan Raja Laut Kuala Lumpur selepas pihak berkuasa mengesyaki premis itu digunakan untuk aktiviti haram.
Turut ditahan seorang pegawai tadbir dan diplomatik (PTD), seorang guru dan beberapa pegawai penguat kuasa.
Jumlah keseluruhan yang ditahan dalam operasi sekitar pukul 8 malam, Jumaat itu adalah 201 lelaki yang berumur antara 19 dan 60 tahun.


