GELANDANGAN yang disiram air dan ditendang di Taman Maluri, Kuala Lumpur pada Selasa lalu pernah berkhidmat sebagai tukang masak di sebuah restoran di Taman Sri Gombak, Selangor.
Menurut aktivis, Afiq Nordin lelaki warga India, Safiudeen Pakkeer Mohamed, 39 yang datang ke negara ini sejak tahun lalu itu bagaimana pun menjadi mangsa penipuan majikannya.
Katanya, lelaki itu membayar RM3,500 untuk permit kerja dan RM1,200 untuk caj kesihatan sebelum mendapat kerja tersebut.
"Lepas dia mula kerja, gajinya ditahan, berbulan tak dibayar. Majikan kata nak perbaharui permit, gaji dipotong jadi RM1,800. Tapi tiada bukti permit tu betul-betul diperbaharui.
"Apabila dia nak berhenti kerja, dia dihalang. Akhirnya enam bulan lepas, dia pilih untuk tak datang kerja. Bukan sebab degil, tapi sebab dia faham kerja tak dibayar," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Gelandangan disiram, ditendang di kaki lima bank... AmBank tampil mohon maaf
ARTIKEL BERKAITAN: Ada ‘plot twist’ kes gelandangan ditendang... Mangsa didakwa buang air merata! - “Kasut pelanggan pernah kena berak”
Afiq berkata, pasport bapa kepada dua anak itu juga ditahan majikan dan perlu membayar RM3,000 jika mahu tiket pulang ke India.
"Berbulan-bulan dia hidup bergantung pada makanan yang diberi pekerja restoran lain sekitar Taman Maluri. Tidur beberapa malam di luar bank sebab itu dia dikasari dan disembur air," katanya
Katanya, Safiudeen kini dijaga oleh Tony Lian atau lebih dikenali sebagai Uncle Tony.
"Dia yang kendalikan penempatan untuk gelandangan. Dia bawa Safiudeen berlindung, dan sekarang sedang cuba untuk membantu dengan beberapa cara.
“Dia cuba dapatkan balik pasport Safiudeen daripada majikan. Dia kumpul duit untuk selesaikan hutang Safiudeen. Dia juga cuba bantu Safiudeen balik ke India dengan cara yang bermaruah," katanya.
Sementara itu ketika dihubungi mStar, Afiq berkata pihaknya sudah menghubungi Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi lelaki tersebut.
"Kita nak Safiudeen mendapatkan semula hak dia. Bukan sekadar passport, tapi gaji yang tertunggak juga. Supaya dia dapat balik ke sana bersama hasil titik peluh dia di sini.
"KDN memberi maklum balas positif dan akan menyelesaikan masalah tersebut," katanya.
Pada 25 November lalu, tular video seorang lelaki yang sedang tidur di laluan pejalan kaki berhampiran bank disembur air oleh seorang pengawal keselamatan wanita.
Seorang lagi lelaki kemudian menendangnya, membuang barang-barangnya dan menyimbahnya dengan air.


